Jumaat, 27 Mac 2009

Umno tidak bersedia untuk berubah

Khairul Azlam Mohamad


DUNGUN - Kepimpinan Umno termasuk pemudanya tidak bersedia untuk berubah bagi memperbaiki serta menerajui parti itu yang semakin merosot dan malap.

Pemilihan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu di luar jangkaan banyak pihak termasuk penganalisis politik.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani menyifatkan kemenangan Khairy bukti Umno tidak sedia melakukan perubahan yang diharapkan.

Katanya, Umno lebih mengutamakan para pemimpin yang banyak wang meski pun terlibat dengan pelbagai kontroversi.

"Saya tidak jangka Khairy boleh menang yang sebelum pemilihan dilanda pelbagai isu kontroversi dan masih 'diangkat' sebagai ketua.

"Keputusan ini memang di luar jangkaan tetapi ia petanda jelas barisan Pemuda Umno mahukan seorang pemimpin yang tidak berkarisma tetapi banyak wang untuk menerajui parti," jelasnya hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menjangkakan terdapat 'suara' yang tidak berpuas hati terhadap kemenangan (Khairy) tersebut.

Ini kerana, katanya sebaik sahaja keputusan diumumkan berlaku tindakan memprotes dan membantah keputusan tersebut dari penyokong-penyokong calon yang kalah.

"Saya percaya keputusan itu (kemenangan Khairy) akan menyebabkan Umno terus dilanda situasi sukar dan bergolak," ujarnya.

Katanya, saranan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti itu mahukan perubahan dalam pemilihan kepimpinan parti tidak kesampaian.

Menurutnya, Pemuda PAS yakin dengan perkembangan Umno selepas perhimpunan tersebut parti itu akan berkubur.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa bersependapat dengan Azman kemenangan Khairy tidak membawa kebaikan kepada Umno.

Katanya, kemenangan Khairy dalam pemilihan peringkat pemuda membuktikan sayap parti itu kini dipimpin oleh individu yang mempunyai rekod tidak baik.

"Kita (AMK) percaya pemilihan Khairy sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia hanya mencetuskan suasana kurang baik kepada Umno di masa akan datang," ujarnya.

Bahkan, kata beliau kemenangan Ahli Parlimen Rembau itu hanya akan memalukan Umno di mata masyarakat umumnya.

Pada pemilihan jawatan tersebut Khairy Jamaluddin menewaskan pencabarnya, Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo. - mns_

Tiada ulasan: