MALAYSIA KINI
(kemaskini 11.47pm)
Umno tidak akan berjaya melakukan perubahan dalaman jika mengambil pendekatan lama yang tidak disenangi masyarakat, termasuk menyekat kebebasan rakyat, kata presidennya.
"Mereka mempercayai bahawa Umno akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama - kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga - dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan.
"Mereka berpandangan bahawa Umno itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang.
"Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat Umno.
"Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini."
Ucapan dasar terakhirnya bertema "Masa Depan dan Survival Parti", kedengaran bernada cemas seperti juga beberapa pemimpin kanan parti, imbas kembali penglibatan lamanya dalam Umno dan ramuan untuk parti itu mengorak langkah kedepan.
Abdullah juga menyatakan dukungan terbuka kepada penggantinya Datuk Seri Najib Razak, selain mengucapkan terima kasih kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan memohon maaf atas kegagalan janji reformasinya.
"Saya percaya, saya menyerahkan tanggung jawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudikan bahtera negara.
"Saya menyeru supaya beliau diberikan sokongan yang padu untuk membolehkan beliau membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.
"Saya sendiri berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada presiden Umno yang baru, kepada perdana menteri Malaysia yang baru," katanya.
"Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana melantik saya menganggotai jemaah menteri, melantik saya sebagai timbalan perdana menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai perdana menteri."
Dalam ucapan dasar lebih sejam - yang bertukar ucapan perpisahan - bermula kira-kira jam 10 pagi, Abdullah menyebut lima faktor yang menjadi punca penolakan rakyat terhadap Umno:
- setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin Umno tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan Umno.
- tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.
- program-program politik Umno yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.
- perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.
- sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak – bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa Umno adalah parti yang korup.
"Faktor-faktor dalaman tersebut telah memberikan modal besar kepada musuh-musuh Umno untuk memburukkan Umno. Ditambah pula dengan sikap dan gelagat watak-watak Melayu tertentu yang mengangkat bola tanggung hingga memberi ruang seluas-luasnya untuk orang-orang Melayu dan bumiputera boleh dilibas atau dicerca sewenang-wenangnya.
"Akhirnya susulan dari gerakan tersusun menyerang dan mencalarkan Umno secara berterusan, minda warga berjaya diracun, hingga sampai ke tahap warga pada hari ini, tanpa penilaian rasional dan objektif begitu mudah mempercayai dan menerima setiap fitnah yang dilemparkan kepada Umno," tambahnya.
Kempen reformasi parti itu bagaimanapun diucapkan dalam nada amaran, bimbang Umno dan BN akan terkubur dalam pilihanraya umum akan datang.
"Sedarilah! Di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika Umno, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka pilihanraya ke-12 pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional menubuhkan kerajaan.
"Selepas ini, rakyat di luar dewan ini tidak akan mengundi kita lagi.
"Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama. Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa 'Umno wajib melakukan perubahan'," kata Abdullah.
"Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan 'Aku akan berubah', lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.
"Betapa malangnya Umno jika ramai yang gagal memahami bahawa Umno itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, Umno tidak mungkin dapat berubah."
Selain ucapan ini, sesi perbahasan usul-usul juga menarik perhatian ramai apabila perwakilan - secara tradisi - mengajukan kritikan dengan pantun atau seloka, nada keras dan lawak jenaka.
Namun, ramai peminat politik lebih ternanti-nanti keputusan persaingan sengit dua penjuru jawatan timbalan presiden antara Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Selain itu, perebutan lapan calon untuk tiga kerusi naib presiden dan 25 kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT) mencuri fokus masyarakat.
Selain jawatan-jawatan penting itu, turut dipertaruhkan adalah jawatan pengerusi tetap dan timbalannya.
Keputusan rasmi dijangka dapat diketahui sekitar jam 10 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan