Khamis, 26 Mac 2009

SPR jawab isu '96% pengundi hantu' di Btg Ai

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak laporan pemantau bebas Malaysians for Free and Fair Election (Mafrel) tentang kewujudan "pengundi hantu" di DUN Batang Ai, Sarawak.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebagai NGO pemerhati yang diiktiraf suruhanjaya itu, Mafrel seharusnya tidak menimbulkan kekeliruan rakyat, lapor Bernama.

"SPR tidak berhak untuk memindah alamat daftar pemilih di sesuatu kawasan, selain tidak berhak untuk menghapuskan nama pemilih yang telahpun meninggal dunia selagi tidak menerima surat kematian yang sah daripada pihak Jabatan Pendaftaran," katanya selepas menyampaikan taklimat sempena persiapan pilihan raya kecil Batang Ai di Lubok Antu hari ini.

Mafrel baru-baru ini melaporkan terdapat 7,117 ataupun 96 peratus daripada 8,006 pengundi di DUN itu tidak mempunyai alamat tetap dan tidak dapat dikesan.

Wan Ahmad dilaporkan menambah, Mafrel seharusnya faham keadaan di Batang Ai kerana kebanyakan pemilih yang berdaftar tidak tinggal tetap di sesuatu tempat kerana telah berpindah dan bekerja di luar kawasan mengundi.

Katanya, hanya pemilih atau keluarga pemilih (jika pemilih sudah
meninggal dunia) berhak untuk membuat sebarang perubahan kepada senarai daftar pemilih yang dipegang oleh SPR selepas mendapat dokumen pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara atau polis.

"Tidak semudah yang disangka untuk menggunakan nama pengundi yang telah meninggal dunia, kerana kita harus memeriksa kad pengenalan, selain dokumen rasmi yang lain sebelum membenarkan mereka yang terbabit untuk mengundi," beliau dipetik berkata.

Katanya, SPR berhak untuk menolak nama seorang pemilih sekiranya wujud kesangsingan dengan status pemilih yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri selain kad pengenalan seperti lesen memandu.

Batang Ai mempunyai pemilih berusia 111 tahun dan 109 tahun (masing-masing seorang), dua orang (95 tahun), 14 orang (81
hingga 90 tahun) dan selebihnya bawah 79 tahun, tambah Wan Ahmad.

Sebanyak 26 saluran pengundi akan dibuka pada 7 April depan, termasuk satu untuk undi pos dan keputusan dijangka diumumkan kira-kira 9 malam.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini diadakan Ahad ini.

Tiada ulasan: