Ahad, 29 Mac 2009

Pengedar Harakah tekad abaikan KDN

Ali Bukhari Amir


Pengedar-pengedar Harakah bertekad untuk tidak menyerah kalah kepada tekanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung permit akhbar tersebut selama tiga bulan sejak Isnin lalu.

"Dalam masa tiga bulan permit digantung, kami bertegas untuk tidak membiarkan masa berlalu begitu saja. Jangan biar tiga bulan berlalu kosong," kata seorang pengedar dari Besut.

Beliau, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu Malaysiakini, tiada banyak perubahan berlaku dalam pengedaran sekarang walaupun Harakah akan diganti dengan tabloid baru Hujah mulai Jumaat minggu depan.

"Kami kerja seperti biasa. Harga akhbar (baru) tetap kekal pada harga biasa seperti sebelumnya. Tiada rungutan dan tidak banyak persoalan yang berbangkit.

"Mesyuarat tadi cuma bersifat taklimat umum untuk ambil persetujuan dalam hal pengedaran akhbar ini," katanya, ketika ditemui selepas tamat mesyuarat pengurusan tabloid PAS itu dengan para pengedar tengahari tadi di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menyentuh pengalaman peribadinya, ada sesetengah pengedar bukan Melayu yang tidak berani menanggung risiko menjual lagi kerana bimbang didenda sehingga RM2,000 kalau didapati bersalah mengedarkan bahan bercetak tanpa permit.

Penyelia pemasaran akhbar itu Mahani Mohamad berkata punca pengedar tidak ramai hadir, termasuklah, kesulitan hadir bermesyuarat apabila kos perjalanan tidak dibiayai oleh PAS.

"Pengedar tanya, kalau mereka datang, adakah duit minyak akan ditanggung? Kita faham, parti tak banyak duit.

"Jadi, hal itu sukar sikit kerana memang kita tiada peruntukan untuk beri elaun-elaun perjalanan dan sebagainya," katanya.

Seorang pengedar dari Sabak Bernam, juga enggan dikenali, mendakwa beliau kerap menerima kunjungan anggota polis Cawangan Khas (SB) di sekitar premis jualannya dan markas PAS kawasannya sendiri.

Mesyuarat hari ini bermula kira-kira 10 pagi dan berakhir sekitar 11:30 pagi.

Pengerusi Harakah Datuk Mustafa Ali yang menyampaikan taklimat khas itu, ketika ditemui, enggan memberikan ulasan lanjut.

Para pengedar organ rasmi PAS ini dan Suara Keadilan, yang turut digantung selama tiga bulan pada hari yang sama, merancang menubuhkan kelab bagi membela kebajikan mereka.

Semalam Malaysiakini melaporkan PAS akan menerbitkan tabloid politik Hujah sebagai mengisi kekosongan Harakah dalam tempoh tersebut.

Sementara PKR pula enggan mematuhi arahan KDN dengan terus menerbitkan Suara Keadilan walaupun tanpa permit sah seperti penerbitannya sebelum diberikan lesen, tahun lalu.

Tiada ulasan: