MALAYSIA KINI
Tiga suspek wanita berusia 20-an antara empat yang ditahan berhubung kecurian kereta mewah Porsche Cayenne Turbo S milik Tengku Mahkota Kelantan awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata suspek tersebut dipercayai terbabit melarikan kereta milik Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra yang hilang di Glenmarie, Shah Alam.
Pada 2 Mac lepas, kereta milik kerabat diraja Kelantan itu dilaporkan hilang ketika diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer(Puspakom).
Menurut Bernama, sebuah lagi kereta jenis sama bernilai RM1.4 juta dilarikan ketika sedang menjalani pemeriksaan di sebuah bengkel di Subang Jaya pafa 17 Mac lepas.
Khalid berkata kesemua suspek yang dipercayai anggota sindiket mencuri kereta mewah yang aktif di Lembah Klang itu ditahan di dua tempat berasingan iaitu di bandar Sunway dan Sunway Mentari pada 17 Mac lepas.
"Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang ditahan itu adalah pemilik kedai mencuci kenderaan di Subang Jaya," beliau dipetik berkata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Hasil soal siasat ke atas lelaki itu membawa kepada penahanan tiga wanita berumur sekitar 20-an, tambahnya.
Bagaimanapun, Khalid berkata kedua-dua kereta mewah itu masih belum ditemui dan polis percaya kenderaan itu masih berada di negara ini.
Polis sedang memburu bapa dan dua adik beradik suspek lelaki itu yang dipercayai anggota sindiket tersebut, lapor agensi berita itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan