Isnin, 30 Mac 2009

Dr Khir perlu hormati dewan

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Kegagalan Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hadir dan memberi keterangan dalam sesi siasatan terbuka Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan menimbulkan tanggapan negatif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Ir. Iskandar Abdul Samad berkata, Dr Mohamad Khir perlu hadir dalam sesi siasatan sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Dia (Dr. Mohamad Khir) kena datang, sekurang-kurangnya untuk bersihkan namanya.

“Sekiranya dia tidak datang, orang akan beranggapan sebaliknya, dan anggap dia bersalah,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Dr Mohamad Khir akan digantung tugas sebagai ADUN Sungai Panjang.

Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan mahu menunggu siasatan lanjut dilakukan Selcat.

“Jawatankuasa ini (Selcat) ditubuhkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dia (Mohamad Khir) seharusnya menghormati dewan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, Dr. Mohamad Khir sepatutnya memberikan penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan.

“Selcat cuba mendapatkan penjelasan, dia (Mohamad Khir) sudah dijemput tetapi tidak hadir memberikan keterangan.

“Tindakan undang-undang boleh diambil tetapi sejauh mana tindakan itu akan mendapat kerjasama daripada polis, peguam dan pihak lain yang berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, banyak perkara yang perlu diperbetulkan tetapi yang jelas Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis) tidak diuruskan seperti mana yang sepatutnya.

“Perkara ini terserah kepada kerajaan negeri untuk ambil tindakan,” katanya.

Ketua Pembangkang Selangor itu berkemungkinan akan digantung tugas sebagai ADUN malah elaunnya juga akan ditarik kerana gagal hadir memberi keterangan dalam sesi siasatan terbuka.

Selain Dr. Mohamad Khir, isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik yang juga bekas Yang Dipertua Balkis dijangka berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Sinar Harian bagaimanapun cuba menghubungi Dr. Mohamad Khir untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan namun beliau gagal dihubungi.

Tiada ulasan: