Azamin Amin
KUALA LUMPUR - Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencabar kepimpinan negara ini untuk mengambil langkah berani dengan memulakan tindakan menyaman media-media cetak dan internet antarabangsa berhubung tuduhan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dengan pelbagai kes rasuah dan jenayah.
Katanya tindakan saman ini adalah perlu supaya imej Malaysia yang tercalar akibat berita yang sangat memalukan ini dapat dipulihkan.
"Sekiranya tindakan saman ini tidak diambil, maka sebenarnya maruah dan masa depan negara akanmenjadi bahan momokan masyarakat dunia," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Antara media asing yang menyiarkan berita berkaitan salah laku Dato' Seri Najib Tun Razak yang dikatakan bakal mengambil alih tampuk kepimpinan negara ialah akhbar Liberation yang berpangkalan di Perancis, The New York Times, International Herald Tribune, Times Online, The Times of India (India), The Australian (Australia), Kompas (Indonesia), The Nation (Thailand) dan NineMSN (berita internet antarabangsa).
Kata Ustaz Hadi penyiaran berita seperti demikian adalah sangat memalukan seluruh rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat ini. Image
PAS katanya berpendapat bahawa kepimpinan adalah merupakan satu amanah yang sangat besar, dan ianya wajib dipikul oleh orang atau pemimpin yang bukan sahaja layak dan adil tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya.
Risiko mempunyai kepimpinan yang rosak akhlak dan mempunyai seribu satu macam bebanan fitnah adalah sangat tinggi, di mana maruah negara adalah menjadi taruhannya, kata Ustaz Hadi
Hal ini menjadi lebih buruk apabila media cetak dan internet antarabangsa mula menyiarkan berita kaitan kes rasuah dan jenayah ini dengan Timbalan Perdana Menteri yang bakal mengambil alih kuasa.
"Ucapan saya di Dewan Rakyat pada 18 Februari lalu adalah terang dan jelas, bahawa seseorang pemimpin terutamanya bakal Perdana Menteri Malaysia yang baru mestilah dibersihkan terlebih dahulu dari sebarang fitnah sebelum layak memegang tampuk pemerintahan yang sangat berat ini,"katanya. - azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan