Jumaat, 27 Mac 2009

Gantung permit akhbar, pembaca anggap kerajaan tidak adil

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR -Tidak bertimbang rasa,kecewa, tidak adil dan hak rakyat diragut,demikian luahan kecewa pembaca yang ditemui Harakah baru-baru ini apabila diminta untuk mengulas mengenai isu penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Bagi Noraisyah Azmi, tindakan tersebut bukan sahaja menyekat kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat tetapi juga menggambarkan ketidakadilan pemimpin kerajaan yang tidak bertimbang rasa terhadap hak rakyat.

"Jika pihak KDN telah menyekat penerbitan akhbar alternatif, seharusnya akhbar arus perdana juga menerima nasib yang sama. Kenapa sewaktu menjelang pilihan raya kecil tindakan tersebut diambil.

"Keadaan ini betul-betul menyekat hak pembaca untuk mendapat maklumat yang sememangnya tidak dilaporkan akhbar-akhbar arus perdana. Memang kita boleh mendapatkan berita-berita melalui blog dan akhbar-akhbar 'online', tetapi kita masih memerlukan akhbar bercetak pro oposisi, " tegasnya yang kecewa dengan tindakan KDN.

Noraisyah ditemui sewaktu Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum bantahan kepada Suhakam berhubung penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Hasnah Jamaluddin yang turut hadir memberi sokongan sewaktu penyerahan memorandum itu menempelak tindakan KDN yang dianggap zalim terhadap rakyat .

"Sewaktu rakyat ingin mengetahui isu-isu terkini terutama di saat menjelang pilihan raya kecil serta pelbagai isu politik dalam negara, kerajaan bertindak memancung Harakah dan Suara Keadilan.

"Di mana lagi kami boleh dapatkan maklumat yang tidak memutar belit isu yang sebenar? Harakah sudah lama 'bersama-sama' kami. Terutama bagi yang tidak mempunyai kemudahan seperti internet, akbar bercetak seperti Harakah amat penting sebagai akhbar alternatif?,"katanya yang merupakan pembaca setia Harakah.

Akhbar milik PAS dan KeADILan digantung permit penerbitannya selama tiga bulan berkuatkuasa 24 Mac lalu oleh KDN. - mks._

Tiada ulasan: