Sabtu, 28 Mac 2009

Hari akhir Perhimpunan Umno: Najib ucap 2 kali

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan berucap dua kali hari ini - hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2008.

Awalnya beliau selaku Timbalan Presiden Umno akan menggulung perbahasan sebelum giliran Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas ucapan penggulungan Abdullah, Najib yang dipilih sebagai Presiden Umno yang ketujuh, akan menyampaikan ucapan penerimaan sebagai penyandang baru jawatan itu.

Ucapan pertama dan kedua Najib dijangka mengambil masa masing-masing 30 minit.

Abdullah pula diperuntukkan masa 40 minit.

Ucapan penggulungan sedang berlangsung dengan didahului Ketua Puteri Umno yang baru dan dijangka berakhir 1.15 tengah hari nanti.

Persidangan disambung semula di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada pukul 8.30 pagi dengan perbahasan usul pendidikan dan agama yang ditangguh semalam.

Selepas selesai perbahasan, ketua ketigatiga sayap parti yang baru membuat ucapan penggulungan iaitu Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua PemudaKhairy Jamaluddin dan Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Seorang anggota Majlis Tertinggi juga akan menggulung usul diikuti Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien serta Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Naib Presiden Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga dijadual akan berucap.

Perhimpunan agung yang bermula Selasa lepas menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Rabu lepas, diikuti esoknya pemilihan bagi jawatan Majlis Tertinggi.

Tiada ulasan: