Selasa, 10 Februari 2009

SPR belum terima notis kekosongan

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini belum menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

"Belum terima notis," kata pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika dihubungi sebentar tadi kira-kira pukul 10.45 pagi.

Kedua-dua kerusi berkenaan kosong ekoran Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, Kedah, V Arumugam meletak jawatan.

Roslan, 50, wakil PAS yang memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum lalu selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi, meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 12 tengahari semalam di Batu Gajah, selepas terjatuh ketika mengayuh basikal ke farmasi bagi membeli ubat.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan 11 anak, adalah bekas Pengerusi Yayasan Perak ketika Pakatan Rakyat memerintah.

Sementara itu, peletakan jawatan Arumugam sebagai Adun dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Masyarakat India Kedah, yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam didakwa kerana menerima ugutan daripada pihak-pihak tertentu termasuk wakil Barisan Nasional (BN).

Arumugam kononnya diugut supaya meninggalkan Pakatan Rakyat bagi menyertai BN.

Tiada ulasan: