BERNAMA
IPOH - Perbicaraan kes rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta membabitkan dua bekas exco kerajaan negeri Perak dan tiga orang lagi hari ini ditangguhkan ke 15 Jun depan.
Perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan kerana Hakim Mahkamah Sesyen Tan Looi Heng menghadiri seminar di sini sehingga esok dan kes itu kemudian didengar di hadapan Majistret Sharmila Abdul Samad.
Bagaimanapun, dua bekas anggota exco tersebut Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi tidak muncul di mahkamah bagi perbicaraan kes itu kerana sakit.
Ekoran itu, Majistret Sharmila mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Mohd Osman kerana gagal mengemukakan sijil cuti sakit dari hospital dan menetapkan 13 April depan sebagai sebutan semula kes waran tangkap itu.
Terdahulu, adik Mohd Osman, Noriza Jailu sebagai penjamin beliau, memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak dapat hadir kerana telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam semalam kerana masalah jantung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan