Isnin, 16 Februari 2009

Seorang lagi calon Bebas mahu tanding di Bukit Selambau

MSTAR ONLINE


ALOR SETAR: Seorang ahli perniagaan hari ini menjadi orang kedua menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April ini.

R. Loganathan, 43, berkata, hasratnya untuk bertanding adalah atas permintaan dan sokongan penduduk di sekitar kawasan DUN berkenaan yang mahu beliau menjadi wakil rakyat mereka.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik tetapi saya menerima banyak panggilan daripada pengundi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau, yang menetap di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, mendakwa selain menjadi anak tempatan, beliau menjalankan perniagaan yang membolehkannya sering berjumpa dengan pengundi.

Sebelum ini, bekas Ketua Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP) Negeri Kedah, G. Saralah turut mengumumkan hasrat untuk bertanding atas tiket Bebas bagi merebut kerusi DUN berkenaan.

Saralah, 33, yang berasal dari Kampung Sungai Buntar, Bedong, Sungai Petani, menyatakan pendiriannya untuk bertanding selepas menerima sokongan banyak pihak.

Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan, M. Kanapathy, yang menyatakan hasrat untuk bertanding pada 11 Februari lalu, mengambil keputusan untuk menarik diri semalam, bagi memberi laluan kepada calon tempatan lain yang lebih layak.

"Saya harap ada calon tempatan yang lebih layak seperti graduan universiti, doktor atau peguam bertanding pada pilihan raya kecil itu," katanya.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya V. Arumugam pada 8 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Arumugam, yang bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai Parti keadilan Rakyat, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut diadakan pada 7 April depan manakala penamaan calon pada 29 Mac ini.

Tiada ulasan: