Isnin, 9 Februari 2009

MIC cadang calon untuk jawatan speaker DUN Perak

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - MIC bakal mencadangkan tiga calonnya untuk dipilih bagi jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Naib Presidennya, Datuk S. Veerasingam berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan.

''Walaupun ketika pilihan raya umum lalu, MIC tidak memenangi sebarang kerusi DUN namun kami tetap berhasrat agar salah seorang daripada calon MIC dipilih untuk jawatan speaker itu.

''Ini bagi membolehkan MIC terlibat sama dalam kepimpinan baru di Perak, khasnya terus berbakti kepada masyarakat di sana,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau tidak mengetahui nama-nama calon yang dicadangkan itu.

Menurutnya, segala yang berkaitan soal pencalonan akan diserahkan sepenuhnya kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

''Saya sendiri tidak mengetahui nama calon berkenaan tetapi yakin Presiden bakal membuat keputusan yang wajar dan tepat,'' katanya

Menurut sumber, Samy Vellu bakal mencadangkan tiga nama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipilih sebagai Speaker DUN Perak.

Pada pilihan raya umum lalu, kesemua empat calon MIC yang masing-masing bertanding di DUN Behrang, Hutan Melintang, Pasir Panjang dan Sungkai tewas.

Tiada ulasan: