Isnin, 9 Februari 2009

Tahan penderhaka di bawah ISA

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Pasir Gudang hari ini menggesa kerajaan menahan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Karpal Singh di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketuanya, Rohazam Shah Ahmad berkata, ini kerana perbuatan Mohammad Nizar dan Karpal Singh yang menderhaka dan ingin menyaman Sultan Perak boleh mewujudkan kumpulan dalam masyarakat yang turut menderhaka dan tidak menghormati undang-undang.

''Atas kebimbangan ini maka Pemuda UMNO Pasir Gudang menggesa Mohammad Nizar ditahan di bawah ISA kerana berupaya mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan keamanan negara," katanya.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu Karpal Singh; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohammad Nizar.

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Pasir Gudang kira-kira pukul 10 pagi di sini hari ini.

Turut hadir adalah lebih 100 anggota sayap parti itu yang kemudiannya berdemonstrasi secara aman di luar kawasan balai bagi membantah perbuatan para pemimpin pembangkang berkenaan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Rohazam Shah berkata, jika Karpal Singh ingin meneruskan hasratnya untuk menyaman Sultan Perak maka kerajaan perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan tersebut.

''Perbuatan menyaman ini adalah sia-sia kerana keputusan Sultan adalah berlandaskan perlembagaan dan undang-undang tubuh Negeri Perak sebaliknya Karpal Singh hanya akan menimbulkan huru-hara,'' katanya.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya mencadangkan agar Istana Perak menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Mohammad Nizar.

Menurutnya, pihaknya juga ingin memohon petisyen mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa sebarang arahan atau peraturan yang dikeluarkan oleh Mohammad Nizar atas kapasiti Menteri Besar adalah terbatal mulai dari saat dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

''Bagi mengelakkan keadaan lebih rumit dan tidak terkawal Pemuda Pasir Gudang meminta agar polis dapat mengambil tindakan terhadap Mohammad Nizar atau agennya atau sesiapa sahaja yang mewakilinya atau bertindak atas arahan untuk mengganggu Menteri Besar yang baru, Datuk Dr. Zambry Kadir," jelasnya.

Rohazam Shah berkata, tindakan Pakatan Rakyat telah menyinggung perasaan orang Melayu dengan perbuatan biadap terhadap Sultan Perak.

''Pakatan Rakyat hanya memecahbelahkan rakyat dan Pas pula diperkudakan oleh DAP seperti parti PAP di Singapura yang berperanan memecahbelahkan negara dan akhirnya membawa Singapura keluar dari Tanah Melayu,'' katanya.

Tiada ulasan: