Saidah Hairan
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mencadangkan supaya lima negeri Pakatan Rakyat sepakat memperuntukkan cuti awal tujuh hari kepada para isteri yang mahu bersalin untuk mereka membuat persediaan awal.
Beliau yang yakin kerajaan Perak masih sah dikuasai oleh Pakatan Rakyat boleh memutuskan cuti selama tujuh hari awal kepada kakitangan wanita yang mahu membuat persediaan menjelang hari bersalin.
"Exco kerajaan Pakatan Rakyat yang masih sah itu akan bermesyuarat pada hari Rabu ini dan mereka boleh memutuskan perkara tersebut," katanya ketika merasmikan seminar kebajikan Nasional anjuran Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar.
Beliau berharap kerajaan negeri Perak yang masih sah dikuasai Pakatan Rakyat boleh mengisytiharkan cuti itu dan diikuti negeri lain Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Program Lajnah Kebajikan yang dipengerusikan Ahli Parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali itu dihadiri oleh AJK Kebajikan peringkat cawangan dan Kawasan seluruh Malaysia.
Turut hadir isteri Menteri Besar Kelantan, Toh' Puan Sabariah Tuan Ishak; mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hasan Syukri.
Mengulas tentang konsep kebajikan itu beliau mengingatkan lima negeri yang telah menang jangan membuang masa untuk melaksanakan kebajikan kerana Allah telah memberi nikmat kemenangan itu untuk melaksanakan amanah dan membuktikan bahawa Islam itu baik.
Katanya, kebajikan itu merupakan satu contoh polisi yang mudah tanpa memerlukan belanja.
Beliau berkata untuk melaksanakan kebajikan itu tidak bermakna menghulurkan wang tetapi keprihatinan, sikap mengambil tahu atau mengambil berat terhadap seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
"Jika masyarakat Cina dan India boleh bersama-sama dengan kita, maka kita merupakan satu parti yang boleh mengaut keuntungan yang sangat besar," katanya.
Beliau mengingatkan para peserta seminar bahawa Allah meminta hamba-Nya melakukan kebajikan bukan hanya terhadap ahli PAS dan orang Islam tetapi semua anggota masyarakat.
Jangan berasa ragu-ragu untuk memberi kebajikan terhadap orang Cina dan India kerana semua masyarakat berhak untuk menerima kebajikan tersebut, tegasnya.
Contoh kebajikan yang jelas tambah beliau menziarahi orang mati kerana itu menunjukkan berkongsi kesedihan dan meninggalkan kesan yang besar daripada berkongsi kegembiraan.
Pada saat genting itulah, katanya, mereka memerlukan rakan untuk berkongsi kesedihan sebab itu Rasulullah s.a.w amat menggalakkan menziarahi keluarga orang yang telah meninggal dunia.
Beliau berkata untuk melaksanakan kerja kebajikan itu bukan satu tugas yang biasa tetapi ia perlu diselaraskan dengan kerja-kerja perjuangan. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan