Muda Mohd Noor
(kemaskini 6:03pm)
Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, yang enggan mengiktiraf kerajaan baru BN, terus bertugas seperti biasa dengan mesyuarat exco negeri dengan mengambil beberapa keputusan penting.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempengerusikan mesyuarat itu bersama semua tujuh orang exco di kediaman rasmi menteri besar sejak pagi tadi.
Dalam sidang medianya tengah hari tadi, beliau mengumumkan empat keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat khas exco tersebut:
* Tajuk pajakan untuk perindustrian akan ditukar status kepada pegangan bebas selama 99 tahun untuk merangsang pelaburan ke negeri tersebut,
* Menghidupkan semula lapangan terbang Ipoh dan meluluskan peruntukan RM2.7 juta untuk kegunaan pesawat tambang murah Firefly,
* Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam skim kifalah kepada warga tua khususnya miskin yang meninggal dunia, dan
* Seramai 342 anggota majlis pihak berkuasa tempatan bawah kerajaan Pakatan Rakyat - sebelum ditumbangkan oleh BN minggu ini - akan terus menjalankan tugas mereka.
Mohammad Nizar menambah, minit mesyuarat yang mengandungi keputusan-keputusan besar itu akan dihantar kepada jabatan-jabatan kerajaan untuk dilaksanakan.
Katanya, beliau akan mengekalkan jawatannya sekarang sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
"Jadi kita serah sebulat-bulatnya kepada mahkamah untuk menentukan," tambahnya,
"Kalau mereka teruskan (angkat sumpah exco kerajaan negeri BN) sebelum mahkamah bersidang, maknanya kita akan ada dua menteri besar dan dua kerajaan.
"Belum pernah ada dalam dunia begini."
Seperti pagi semalam, tambahnya, beliau akan terus ke pejabat rasminya di bangunan setiausaha kerajaan negeri pada Selasa depan.
Tindakan yang sama akan diambil oleh barisan exco tiga parti utama kerajaan campuran itu.
Beliau juga berkata, satu permohonan akan difailkan di mahkamah pada Selasa depan untuk mencabar kesahihan pelantikan menteri besar BN Datuk Dr Zambry Abd Kadir semalam.
Lebih 100 orang penyokong PAS termasuk anggota Unit Amal parti itu berada di kediaman tersebut yang kelihatan seperti biasa.
Mereka bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap apa yang menimpa pada Mohammad Nizar dan kerajaan pimpinannya.
Dr Zambry mengangkat sumpah di Kuala Kangsar semalam di tengah-tengah kekecohan akibat bantahan ribuan penyokong Pakatan Rakyat - tidak jauh dari Istana Iskandariah, tempat berlangsungnya majlis tersebut.
Sementara itu, perkembangan berkaitan di negeri tersebut, antaranya:
* Angkatan Muda PKR Ipoh Barat membuat aduan polis sebagai tindak balas terhadap laporan Pemuda Umno berhubung akuan berkanun ketua bahagiannya Fauzi Mamat yang mendakwa timbalan perdana menteri cuba menyogok RM50 juta dalam usaha menumbangkan kerajaan Pakatan di Perak.
Datuk Seri Najib Razak didakwa berbuat demikian di kediaman rasminya di Putrajaya tidak lama selepas pilihanraya umum tahun lepas.
* Sembilan yang ditangkap polis dalam perhimpunan besar depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar semalam bagi membantah pelantikan Dr Zambry ditahan reman sehingga esok.
* Para pemimpin BN Perak membatalkan satu mesyuarat khas - asalnya dijadual jam 5 petang ini di bangunan Umno - dipercayai bagi membincangkan barisan exco baru negeri tersebut.
* Pakatan Rakyat melancarkan kempen penerangannya berhubung kemelut kerajaan Perak 8 malam esok bertempat di kediaman menteri besar.
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua ahli parlimen DAP Lim Kit Siang dijadual menyampaikan ucapan.
* Pemuda Umno Perak membuat laporan polis terhadap pemimpin atasan Pakatan Rakyat berhubung dakwaan "menghina titah Sultan Perak" yang dianggap berbau hasutan.
Selain terhadap Mohammad Nizar, ketua pergerakannya Zainol Padzi Paharudin turut menamakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pengerusi DAP Karpal Singh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan