Ahad, 1 Februari 2009

Perlukah GMP sebarkan surat berita?

Ali Bukhari Amir


Sebelum apa-apa, saya mesti memohon maaf kepada rakan-rakan yang mengirimkan sms berhubung mesyuarat-mesyuarat yang pernah disusun bertujuan mencari sepakat kata dalam bertindak sebelum ini dalam usaha membanteras PPSMI.

Terima kasih kepada anak-anak muda di dalam Kumpulan Prihatin, Akmal, Saifullah, Hilmi, Faisal, Abu Qosim dan lain-lainnya yang tidak dapat disebutkan di sini. Golongan pejuang bahasa yang lama sangat berterima kasih kepada saudara.

Mereka sendiri tidak dapat bergerak dengan kekuatan tenaga fikiran, tetapi mereka cukup ampuh dengan tenaga mental dan kaya daripada segi intelektual. Dr Yusuf al-Qaradawi mengungkap hal ini sebagai hammas asy-sabab wa hikmah asy-Syuyukh!

Maksudnya, semangat orang muda yang dibantu dengan sokongan kebijaksanaan orang-orang tua. Maka, gabungan tenaga fizikal orang muda ini, disokong oleh tenaga mental orang-orang lama inilah yang bakal menghasilkan tenaga baru yang tidak terjangka!

Beberapa hari lalu di Puri Pujangga, di Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam bengkel kecil Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi), saya sempat berbual bersama Dr Shaharir Mohamad Zain. Syor saya itu disampaikan secara santai dan tidaklah begitu serius.

Saya tak tahu apakah GMP atau jawatankuasa-jawatankuasa sebelum ini telah bangkitkan syor-syor yang terkait dengan pengedaran aktiviti pergerakan mansuhkan PPSMI ini?

Saya akui kesilapan saya ini. Kenapa tak hadir semasa orang suruh saya hadir mesyuarat jawatankuasa memansuhkan PPSMI?

Kalau sudah ada syor bagi mewujudkan kumpulan yang akan mengelolakan edaran surat-surat berita ini, maka baguslah. Kalau belum ada cadangan lagi, maka inilah syor saya di luar mesyuarat tersebut. Jika tertendang syor ini pun tak apalah. Sekali lagi.. kenapa saya tidak hadir dalam mesyuarat-mesyuarat sebelum ini?

Hubungan organisasi dan media

Mana-mana organisasi perlukan media untuk menghebahkan idea-ideanya. Mana-mana syarikat misalnya Tesco, Giant, Jusco ada surat berita, edaran kertas-kertas yang bakal menawarkan promosi jualan penghabisan stok untuk melipatgandakan keuntungan.

Itu cerita perjuangan ahli-ahli kapitalis, saudagar-saudagar Yahudi antarabangsa. Lihat pula bagaimana organisasi lain bertindak. Tidak perlulah kita kembarkan contohnya lagi. Pas, ada juga lidah atau suara rasminya bernama Harakah. Hanya seketika sahaja, wujud debat mesra; adakah akhbar itu menjadi suara rasmi rakyat atau lidah rasmi parti.

Tapi, Gerakan Mansuhkan PPSMI itu sudah pasti menjadi gerakan mengakar, membumi dan merakyat. Gerakan mengakar ini akhirnya akan merimbun dan memberikan teduhan, memayungi rakyat daripada panas terik daripada penjajahan penguasa yang zalim.

Gerakan mengakar, membumi, merakyat dan merimbun ini tentunya perlukan medianya yang tersendiri. Ini sudah pasti. Ini semuanya pergerakan dakwah para nabi dan rasul.

Nabi Musa dan Nabi Harun adalah bersaudara. Kerasulan Nabi Harun terangkat selepas kerasulan Nabi Musa. Dalam doa munajatnya Nabi Musa berkata, bahawa lidah baginda berselirat dengan simpulan. Musa tak petah berbicara berbanding saudaranya Harun.

Justeru, baginda memohon agar saudaranya Harun terangkat sebagai Nabi dan Rasul. Jadi antara ramai-ramai nabi dan rasul, Nabi Harun a.s itulah mungkin satu-satunya nabi yang telah diangkat darjat dan makam kenabiannya cuma semata-mata membantu ucapan Nabi Musa a.s. Sedangkan, nabi-nabi dan rasul-rasul lainnya diberikan suhuf dan kitab.

Hanya kerana Harun a.s diperlukan sebagai wakil komunikasi Musa a.s, maka baginda itu telah diangkat menjadi nabi dan rasul? Masya Allah..demikianlah pentingnya komunikasi dan media ini sehinggakan seorang manusia diangkat darjat daripada lelaki biasa menjadi nabi dan rasul. Ada satu contoh lagi yang tak kalah pentingnya.

'Wartawan' Hud-Hud diangkat darjatnya

Kita akan bertemu suatu nas yang boleh melayakkan burung Hud-Hud diangkat darjatnya sebagai 'wartawan', suatu jawatan yang agak besar dan tinggi di sisi Raja Teragung ketika itu, iaitu Raja Sulaiman a.s.

Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?

"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberatberatnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)."

Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.

"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.

"Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,

"(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.

"Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar."

Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".

[An-Naml, ayat 20 hingga 28]

Perhatikanlah ungkapan istilah an-Naba' (khabar berita) yang diungkapkan oleh Hud Hud itu. Dengan sebab itulah bidang tugas Hud Hud telah diangkat sebagai wakil Sulaiman a.s kepada Ratu Saba'. Ia bermula dengan tugas media dan wartawan.

Kerana tugas burung sebagai pengamal media itulah, maka nama burung Hud Hud telah diberikan tempat di dalam al-Quran yang mulia dan tetap dibacakan namanya sehingga di hujung nyawa dunia.

Jika Nabi Harun terangkat darjat kenabian dan kerasulannya dengan sebab tugas sebagai pengamal media kepada Musa a.s, dan darjat burung Hud Hud terangkat kerana bertindak sebagai pengamal media kepada Raja Sulaiman, maka hal ini tentu membuktikan bahawa hubungan media dan organisasi (kerajaan, negara, kenabian dan kerasulan) adalah sangat erat dan penting sekali.

Apa ertinya Keadilan tanpa Suara Keadilan. Apa ertinya Pas tanpa Harakah, dan apa erti segala usaha parti-parti ini tanpa medianya yang tersendiri?

Barangkali, Kumpulan Prihatin juga perlukan media. Demikian juga Gerakan Mansuhkan PPSMI. Ramai juga pembaca yang mengirim surat elektronik membantah PPSMI hingga tidak terlayan dibuatnya. Mungkinkah ratapan dan bantahan mereka boleh disiarkan?

Kalau perjuangan memansuhkan PPSMI ini ada surat berita, tentulah kita boleh hantar ke masjid-masjid menjelang Jumaat dan juga mengirim edaran kepada sekolah-sekolah bagi tujuan menghebahkan acara-acara yang diaturkan oleh GMP pada masa-masa depan.

Tiada ulasan: