Oleh SANTHY MUTHALU
KUALA LUMPUR - Peluang keemasan untuk lebih 15,000 pekerja swasta yang telah diberhentikan kerja.
Mereka kini berpeluang menyertai sektor awam berikutan kekosongan 20,000 jawatan di seluruh negara pada masa ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, bagi tujuan pengisian jawatan-jawatan itu, beliau telah mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan temu duga khusus untuk mereka.
Menurutnya, langkah mempermudahkan permohonan kemasukan ke sektor awam untuk golongan tersebut adalah komitmen kerajaan dalam membantu mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.
Jelas beliau, rekod kementerian mendapati, 15,700 pekerja swasta diberhentikan mulai Ogos 2008 sehingga minggu lalu termasuk kira-kira 2,000 orang menerima tawaran skim pemberhentian sukarela (VSS).
"Pada masa ini, peluang pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding permintaan.
"Soalnya ialah jika telah diberhentikan, pekerja berkenaan tidak seharusnya terlalu memilih kerja baru," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Tafe di sini hari ini.
Pada majlis itu, 204 pelajar menerima diploma manakala 284 orang lagi menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk S. Devamany dan Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan.
Subramaniam memberitahu, sehingga ini kerajaan telah menghantar pulang kira-kira 5,000 pekerja asing ke negara asal sepanjang kelembapan ekonomi sejak Ogos lalu.
"Kekosongan pekerjaan ekoran penghantaran pulang pekerja asing ini diharap akan diisi oleh pekerja tempatan," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung MIC berkata, sehingga kini belum ada apa-apa perbincangan mengenai pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau.
"Belum ada perjumpaan, kepimpinan BN akan keluarkan kenyataan nanti. Mengikut tradisi BN, kerusi itu harus diperuntukkan kepada MIC," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan