UTUSAN ONLINE
PERSIDANGAN penggal kedua Parlimen Malaysia yang bermula dengan mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada hari ini dijangka dihangatkan dengan isu-isu menarik yang meliputi kesan langsung dan tidak langsung kegawatan ekonomi serta kemelut politik tanah air semasa khususnya yang berlaku di Perak.
Fokus utama Ahli-Ahli Dewan Rakyat sudah tentu pada pembentangan pakej rangsangan ekonomi kedua atau 'bajet mini' yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Mac nanti.
Namun pada pandangan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Puad Zarkashi, disebabkan oleh aturan mesyuarat yang melibatkan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja, sudah tentu wakil rakyat tidak boleh lari daripada menyentuh isu yang berkaitan sistem raja berperlembagaan.
''Saya yakin ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) akan membangkitkan soal kita mesti menghormati perlembagaan negara yang menuntut semua rakyat mematuhi sistem demokrasi, taat kepada institusi raja dan sebagainya.
''Ini akan menjadikan Dewan Rakyat bersidang dengan lebih hangat. Begitu juga soal tentang kesahihan perlembagaan berhubung pembentukan kerajaan melalui sistem undi tidak percaya, kuasa-kuasa raja, isu-isu lompat parti yang akan memanaskan Dewan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Puad tidak menolak bahawa tumpuan perbahasan ialah kepada soal kegawatan ekonomi global dan negara khususnya kesan yang boleh dilihat selepas pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM7 bilion yang diluluskan pada tahun lalu.
Beliau yang juga Naib Pengerusi BNBBC berkata, bagaimanapun isu politik terkini yang berkaitan kuasa raja dan keluhuran perlembagaan akan lebih menghangatkan suasana Dewan Rakyat.
Malah beliau yakin, persoalan berkenaan akan menyaksikan wakil rakyat pakatan pembangkang bersikap lebih defensif berbanding kelantangan yang ditunjukkan pada tiga mesyuarat penggal pertama lalu.
''Saya yakin pembangkang lebih defensif kerana mereka dibayangi oleh kegagalan menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 dan kehilangan kuasa mentadbir kerajaan negeri Perak. Apa yang mereka nak buat tidak menjadi sebaliknya terkena pula di Perak," katanya.
Beliau menjangkakan, kelesuan pembangkang akan menonjolkan semangat ahli-ahli BNBBC khususnya dalam membangkitkan kegagalan pembangkang termasuk dalam menunaikan janji-janji pilihan raya mereka dan soal pembaziran seperti pembelian kereta Toyota Camry.
Pemerhati politik tanah air yang juga Profesor di Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula menyatakan, isu ekonomi akan mendominasi persidangan Dewan Rakyat kali ini khususnya soal-soal berkaitan pengangguran, pemberhentian pekerja dan gejala sosial serta jenayah kesan kegawatan tersebut.
Selain itu, isu-isu semasa seperti pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau juga dijangka disentuh namun pihak pembangkang seboleh-bolehnya akan mengelak untuk menimbulkan soal penderhakaan kepada raja dan perkara yang berkaitan.
''Wakil rakyat BN pula akan mengambil kesempatan membangkitkan isu-isu politik di Perak yang menyentuh soal kuasa raja dalam memutuskan pembentukan kerajaan di Perak. Pembangkang akan dihujani dengan soalan-soalan daripada BN yang mahu mereka memberi jawapan berhubung tindakan Pakatan Rakyat dalam isu ini.
''Sudah tentu, Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) akan menjadi sasaran untuk menjawab dan memberi penjelasan kepada Dewan berhubung kenyataan yang dibuat beliau," katanya.
Upacara perasmian penggal Parlimen pada 16 Februari ini dimulakan dengan titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat.
Usul menjunjung kasih titah diraja akan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan disokong oleh Ahli Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong.
Pada hari kedua sidang Dewan Rakyat juga bakal menyaksikan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut mengangkat sumpah dan kemasukannya menjadikan bilangan wakil rakyat pembangkang bertambah kepada 82 orang.
Pembentangan bajet mini bertujuan merangsang ekonomi negara dan ia akan dibahaskan selama tiga hari selepas tamat perbahasan titah diraja yang dijadualkan berlangsung selama tujuh hari bermula 17 Februari.
Penggulungan perbahasan dijadualkan bermula pada minggu ketiga persidangan iaitu dari 2 Mac sehingga 5 Mac dan Dewan Rakyat tidak bersidang pada 9 Mac kerana cuti umum Maulidur Rasul.
Beberapa rang undang-undang dijadual dibahaskan pada mesyuarat pertama penggal kedua termasuk Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi 2008 dan Rang Undang-Undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008 yang dibacakan kali pertama pada Disember tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan