Ahad, 4 Januari 2009

Selangor lebih bersih, lebih hijau dan lebih selamat

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Hasrat menjadikan Selangor lebih bersih, lebih hijau dan lebih selamat turut disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew, ketika penulis bertemunya baru-baru ini.

“Kita mahu mewujudkan sebuah negeri yang lebih hijau, lebih bersih dan lebih selamat sesuai dengan Selangor sebagai sebuah negeri maju di negara ini,” katanya ketika bercerita mengenai harapannya terhadap Selangor pada masa hadapan.

Mengulas mengenai portfolio Kerajaan Tempatan, beliau berkata pelbagai program baharu sudah disiapkan dan akan mula diperkenalkan tahun ini.

“Mulai Januari ini, kita akan luaskan lagi program kita supaya hasrat untuk menjadikan Selangor lebih bersih, lebih hijau dan lebih selamat akan tercapai tidak lama lagi,” katanya.

Sebagai langkah persediaan, pihaknya akan melancarkan satu kempen kebersihan besar-besaran melibatkan semua pihak pada bulan ini.

“Satu kempen gotong royong besar-besaran akan dijalankan secara serentak di seluruh Selangor pada 11 Januari depan di mana kesemua PBT, alam flora, penduduk-penduduk, dan semua agensi kerajaan terlibat.

Malah Adun dan juga Ahli Parlimen akan turut serta dengan rakyat untuk sama-sama mencuci longkang dan mengutip sampah,” katanya.

Selaras dengan usaha itu juga, pihaknya telah mengarahkan kesemua PBT di negeri untuk menjalankan program tanaman pokok dan bunga secara besar-besaran di daerah masing-masing.

“Kempen ini sudahpun bermula pertengahan tahun lalu dan untuk lebih hijau lagi kita bercadang akan lancarkan tanaman secara besar-besar di seluruh Selangor tidak lama lagi sesuai dengan hasrat kita,” katanya.

Bercakap mengenai soal keselamatan, beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk mempertingkatkan penggunaan CCTV di seluruh Selangor.

Tiada ulasan: