Selasa, 27 Januari 2009

Siasat punca lompat parti - Zahid

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mencari punca tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti seperti yang dilakukan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Ahmad Zahid berkata bantuan harus diberikan supaya tekanan peribadi tidak menyebabkan tekanan politik kepada wakil-wakil rakyat BN terutama di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

"Ini kerana mungkin daripada segi peruntukan, kita (Kerajaan Pusat) boleh membantu... Mungkin mereka mengalami masalah daripada segi membiayai aktiviti-aktiviti yang dilakukan sebagai wakil rakyat," katanya.

Mengenai tindakan Nasaruddin itu, beliau berkata: "Memang saya tidak terkejut dengan keputusan itu... tetapi pada saya, beliau mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri (untuk melompat parti) dan harus kita ketahui (sebabnya)," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Festival Pembangunan Ekonomi Islam 2009 (I-Fest 09) di sini.

Kelmarin Nasaruddin mengumumkan keputusannya untuk keluar Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan menyatakan tindakan itu diambil setelah lama mempertimbangkannya.

Tiada ulasan: