Ahad, 25 Januari 2009

Bukti Wujud Pengundi Hantu, Tidak Pernah Daftar DiPanggil Untuk PRK KT

Editor Buletin Online


Pasir Gudang - “Isteri saya tidak pernah mendaftar dan tidak pernah mengundi, jadi bagaimana mereka boleh panggil dia balik mengundi di Kuala Terengganu,” kata seorang bekas anggota polis.

Beliau mendakwa isterinya telah menerima surat 'Rayuan Kepada Perantau' daripada sebuah parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

Paling membingungkan lelaki berusia 46 tahun yang hanya mahu dikenali Shan itu ialah isterinya yang berasal dari Sarawak itu turut dianggap ‘anak perantau Kuala Terengganu’ sedangkan mereka hanya tinggal di bandar itu selama enam tahun sahaja bermula 1990.

Menurut Shan, isterinya yang berusia 43 tahun itu menerima sepucuk surat merayu anak perantau supaya pulang membuang undi daripada sebuah parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu, yang dialamatkan ke rumahnya di Taman Kota Masai.

“Memang kami pernah tinggal di negeri itu ketika saya bertugas di sebuah balai polis di Kuala Terengganu dari 1990 hingga 1996, selepas itu saya bersara dan kini kami bermastautin di Kota Masai.

“Tetapi apa yang isteri saya tegaskan, dia tidak pernah mendaftar sebagai pengundi bahkan sehingga hari ini pun isteri saya tidak pernah mengundi.

“Jadi bagaimana nama isteri saya muncul dan dipanggil pulang sebagai anak perantau,” katanya, semalam.

Antara isi kandungan surat yang diterima Shan pada 18 Januari lalu itu ialah rayuan presiden parti itu kepada anak perantau supaya pulang dan memberi sokongan kepada calon mereka sambil mengajak bersama untuk meneruskan kebangkitan umat selain memaparkan gambar presiden dan calon yang bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Malah tempat dan saluran mengundi turut tertera dalam surat yang ditandatangani oleh presiden parti politik berkenaan. Ini menunjukkan rekod dan maklumat peribadi isteri saya ada pada mereka (parti politik),” katanya.

Shan berkata, timbul pelbagai persoalan terutamanya berkaitan bagaimana segala maklumat seperti nombor kad pengenalan dan alamat terbaru isterinya diperoleh dan berada dalam rekod parti politik berkenaan.

“Adakah ini satu daripada cara mereka untuk mewujudkan pengundi hantu,” katanya

Tiada ulasan: