Ahad, 4 Januari 2009

JAMM sedia berdebat dengan JAIS

SINAR HARIAN ONLINE


SELAYANG - Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) di Kampung Nakhoda dekat sini mengalu-alukan kesediaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk berjumpa dan bermuzakarah dengan pihaknya.

Jurucakapnya, Ainul Yakin Mohd Zain berkata, pihaknya mahu format pertemuan yang akan datang diubah bagi mendatangkan kebaikan kepada masyarakat umum.

Menurut beliau, sebelum ini JAMM pernah mengadakan pertemuan secara tertutup dengan JAIS yang didakwa tidak adil kerana ia menyebabkan masyarakat tidak dapat menilai mana yang benar.

Katanya, pihaknya mahu pertemuan mahupun debat dilakukan mengikut format pertemuan di televisyen antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

“Bagaimanapun, yang membezakannya, JAIS akan diwakili empat orang dan JAMM juga diwakili jumlah sama.

“Salah seorang daripada mereka yang bertanggungjawab untuk kemukakan soalan akan dijawab oleh kedua-dua pihak melalui seorang daripada tiga wakil berkenaan,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian menyiarkan kenyataan JAIS yang dilaporkan bersedia berjumpa dengan JAMM pada bila-bila masa.

Tiada ulasan: