MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI, 12.30 TENGAH HARI]
WASHINGTON: Barack Obama yang memenangi pemilihan Amerika Syarikat (AS) November lalu dengan selesa, bersiap sedia untuk mengangkat sumpah sebagai presiden pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam hari ini.
Beliau dijadual menyempurnakan upacara angkat sumpah pada pukul 1 pagi esok (waktu Malaysia, pukul 5 petang ini GMT) ketika dunia mengharapkan presiden yang ke-44 AS itu akan melakukan sesuatu untuk mengubah dasar luarnya dan persepsi masyarakat dunia terhadap Washington.
Harapan itu memuncak ketika konflik Gaza ekoran serangan Israel menghampiri minggu keempat.
Malah perubahan bukan sahaja diharapkan oleh masyarakat dunia ekoran pelbagai dasar berat sebelah AS, rakyatnya juga mahu Obama membebaskan negaranya daripada kemelesetan ekonomi paling buruk sejak 1930-an, kesan peperangan di Afghanistan dan Iraq dan perubahan dasar White House yang diterajui George W. Bush sepanjang lapan tahun lalu.
Beliau dijadual menyampaikan ucapan sulungnya sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden yang baru dari bangunan Capitol - yang diharap akan menjadi peluang terbaik awalnya untuk memenuhi harapan banyak pihak.
Sempena upacara itu, laluan-laluan utama di sini dikawal ketat demi keselamatan sejak awal pagi tadi - kira-kira 24 jam sebelum majlis bersejarah itu.
Lebih 12,500 anggota tentera dan polis metropolitan dihimpunkan untuk menjaga keselamatan.
Obama akan mengangkat sumpah menggunakan kitab injil yang pernah digunakan oleh bekas Presiden Abraham Lincoln yang mengakhiri sistem perhambaan di AS.
Majlis angkat sumpah Obama dan Naib Presiden Joe Biden dijangka menarik kira-kira dua juta orang yang sanggup berhimpun di bawah cuaca teramat sejuk.
Obama, pemimpin Demokrat berusia 47, yang telah menewaskan John McCain pada 4 November telah menjanjikan pendekatan pentadbiran bersifat pragmatik berbanding ideologikal.
Selepas majlis angkat sumpah, Obama akan diiringi dari bangunan Capitol melalui Pennsylvania Avenue untuk ke White House - premis pentadbirannya untuk tempoh empat tahun akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan