Khamis, 29 Januari 2009

BN Perak harus gesa Nasaruddin letak jawatan

BERNAMA


PUTRAJAYA:Barisan Nasional (BN) Perak perlu melakukan gerakan besarbesaran bagi menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota Datuk Nasaruddin Hashim meletakkan jawatan berikutan tindakannya melompat parti.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kemenangan Nasaruddin pada pilihan raya lalu adalah di atas tiket BN, justeru keputusan beliau untuk melompat parti memusnahkan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi di kawasan itu.

"Jika saya orang Perak, saya akan mula bentuk (gabungan) semua NGO dan ketua kampung sekarang menuntut peletakan jawatannya. BN Perak harus membuat keputusan seperti ini bagi menyedarkan rakyat.

"Kita ada beribu cawangan di Perak, cawangan Umno, Putera, Puteri, Pemuda, Wanita semua harus bersuara...Kalau setakat keluar di suratkhabar ia tidak akan memberi kesan," kata Menteri Luar itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Othman Hashim, di sini hari ini.

Dr Rais berkata beliau juga yakin BN akan menang sekali lagi sekiranya pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa BN masih kuat dan masih boleh bangkit, dan mereka yang cuba melompat keluar dari BN akan menyesal sendiri setelah melihat kekuatan parti nanti.

Pada Ahad lepas, Nasaruddin yang menang dengan majoriti 2,068 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Usaili Alias pada pilihan raya umum Mac lalu mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai PKR.

Perak kini diterajui pakatan pembangkang Pas, DAP dan PKR dengan menguasai 31 kerusi DUN manakala BN 28 kerusi.

Mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memansuhkan sayapsayap parti bagi menghapuskan gejala politik wang, Dr Rais berkata setiap cadangan untuk memperbaiki Umno pada ketika ini akan diambil kira, namun cadangan itu haruslah praktikal dan mendatangkan faedah.

"Jika didapati suara majoriti nanti bahawa sayapsayap tersebut sesungguhnya tidak mendatangkan faedah atau melemahkan perjuangan tentu MT akan buat keputusan itu.

"Pada masa ini memang kita menggalakkan semua pihak memberi pandangan tetapi kita jangan terlalu mabuk pandangan pada masa ini selain daripada menghapuskan rasuah dalam parti dan mengukuhkan Umno itu sendiri," katanya.

Tiada ulasan: