Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan hari ini melahirkan kekesalan terhadap tindakan sebuah syarikat telekominikasi tempatan yang menaja dan akan turut menganjurkan program konsert 'Rihanna Live in Kuala Lumpur' pada hari Jumaat, 13 Februari 2009 nanti.
Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad, Rihanna yang terkenal dengan lagu Bad Girl dan Umbrella sebelum ini dijangka akan mengadakan persembahan lewat pukul 8.30 malam di Stadium Bukit Jalil nanti.
Iklan-iklan telah mula disebarkan melalui kaca TV, Surat Khabar, SMS dan ternyata ia adalah suatu usaha yang bersungguh dari Celcom dalam mengaut keuntungan dalam mengorganisasikan konsert ini, katanya.
Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty merupakan artis kelahiran Kepulauan Barbados yang menempah nama di Amerika Syarikat, katanya.
Artis ini berkecimpung dalam genre R&B, Pop,Pop-Rock, dance dan reggae sering membawakan aksi yang menghairahkan dalam penyampaian lagu-lagunya disamping mengenakan pakaian ketat dan seksi, ujarnya.
"Ini sememangnya tidak memenuhi citarasa budaya tempatan, dan tidak secocok dengan syarikat telekomunikasi itu yang dilihat sebagai sebuah syarikat tempatan yang sewajarnya mengutamakan budaya ketimuran dan artis-artis tempatan," katanya.
Kehadiran Rihanna yang kini sudah menetap di Amerika sedikit sebanyak akan membawa keluar wang negara yang akhirnya akan masuk ke Amerika, katanya.
Melihat kepada pengaliran wang ini, bukan sahaja membawa kita memahami erti kerugian buat negara tetapi satu penderitaan buat rakyat Palestin.
Amerika menjadi sekutu Israel membekalkan senjata ketika pembunuhan ngeri di Gaza hasil dari sumbangan dan dana cukai yang diberi oleh penduduk Amerika, katanya.
"Sama ada Rihanna sedar atau tidak kita sememangnya tahu bahawa duit cukai yang dibayar beliau turut menyumbang kepada peperangan di Gaza," katanya.
Maka Pemuda PAS Wilayah menolak kehadiran artis ini di Malaysia atas dasar ketidaksesuaian gaya penyampaian lagu, pakaian dan juga atas sentimen menghormati rakyat Palestine yang tertindas angkara kekejaman Israel dansekutunya Amerika yang ditaja oleh kebanyakkan penduduknya.
"Sama ada Rihanna terlibat atau tidak, bagi kami beliau juga adalah agen kepada kerosakkan muda-mudi yang ada di seluruh dunia melalui penyampaian lagunya dan juga penyumbang kepada kekuatan dana Israel melalui Amerika yang menjadi tempat beliau menempah nama," katanya.
Memanggil Rihanna ke Malaysia umpama menghina adab ketimuran, merendahkan artis tempatan, sengaja merugikan ekonomi negara dan menyokong dasar perang Israel yang disokong Amerika, dakwanya.
Sewajarnya dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan rakyat Palestin ditindas kini, Malaysia perlu meneruskan kempen boikot barangan Amerika termasuklah artis-artis mereka serta apa sahaja yang dikeluarkan dari negara itu terutama perkara-perkara yang negatif, katanya. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan