BERNAMA
IPOH: Badan Perhubungan Umno Perak akan bertemu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini bagi membincangkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.
Pengerusinya, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, Najib dijangka mengeluarkan kenyataan selepas pertemuan itu yang dijadualkan berlangsung di ibu negara.
"Saya minta Nasarudin turut membuat temu janji dengan Presiden Umno (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kerana tidak ada apa-apa yang kita tidak boleh selesaikan.
"Kalau ada kelapangan dia boleh juga berjumpa dengan Najib esok (hari ini)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Adun Barisan Nasional (BN) negeri Perak di sini malam tadi.
Beliau turut melahirkan harapan supaya Nasarudin dapat melapangkan fikiran dan berfikir sedalam-dalamnya bagi menyertai semula BN.
Ditanya mengenai khabar angin bahawa masih terdapat beberapa ADUN BN negeri itu yang akan menyertai Pakatan Rakyat, beliau menafikan dan menyifatkan ia hanya diuar-uarkan sahaja.
Mengenai sama ada Nasarudin pernah meluahkan atau memaklumkan sebarang masalah kepada beliau, Tajol berkata, Nasaruddin tidak pernah mengadu sebarang masalah kepadanya.
Bagaimanapun masalah mungkin timbul sejak pemilihan peringkat bahagian Oktober lepas di mana Nasaruddin bertanding untuk merebut jawatan Ketua Bahagian menentang penyandang Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.
Tajol Rosli turut memaklumkan setakat ini Nasarudin tidak menghubunginya dan panggilan telefon yang dibuatnya tidak dijawab oleh Nasarudin.
"Anggota Umno lain ada berhubung dengan beliau. Saya telefon dia tetapi dia tidak jawab, jadi saya rasa dia masih ada rasa segan silu dengan saya dan saya harap dia pertimbangkan semula keputusan yang beliau buat hari ini (semalam)," katanya.
Dua puluh daripada 28 ADUN menghadiri mesyuarat tergempar yang tamat pada 11 malam tadi.
Lapan yang tidak hadir sedang berada di luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan