Jumaat, 30 Januari 2009

Abdullah: Jawatankuasa Disiplin akan diperkuatkan

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Umno akan diperkuatkan bagi menangani isu-isu yang bersangkut paut dengan parti termasuk gejala politik wang yang serius diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Kita ambil kesempatan untuk terus ingatkan bahawa amalan politik wang ini tidak baik.

"Kita juga akan besarkan jawatankuasa ini (Disiplin) dengan menambah lagi pembantu-pembantu supaya kes-kes yang dilaporkan dapat dipertimbangkan dan diputuskan dengan cepat," kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini awal pagi ini.

Mesyuarat MT lebih tiga jam berakhir pukul 12.30 tengah malam tadi.

Isu gejala politik wang kini ditangani bersama oleh Jawatankuasa Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, mesyuarat MT turut menyentuh kegagalan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.

Jelas beliau, laporan mengenai keputusan pilihan raya itu akan dihalusi oleh jawatankuasa pengurusan.

"Kita belum dapat dedahkan laporan post-mortem, jawatankuasa pengurusan perlu perhalusi dulu," katanya.

"Tebal juga laporan itu... nanti baru kita boleh beritahu," jelas beliau.

Mengenai hasil retreat Umno tahun lalu, Abdullah menambah, mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa perkara yang telah diputuskan.

Tindakan-tindakan itu antaranya yang ada kaitan dengan proses pemilihan, sistem kuota dan proses pengundian.

Tiada ulasan: