Rabu, 28 Januari 2009

Usaha cantas orang Shahidan

Muda Mohd Noor


Usaha menghapuskan pengaruh bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa sedang dijalankan oleh pemimpin Umno tertentu di Perlis dengan menafikan jawatan dan kontrak.

Ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Jusoh mendakwa, gerakan mencantas penyokong Shahidan didalangi oleh bekas setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau menambah, menteri besar sekarang Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

Katanya, penyokong Shahidan kini diketepikan daripada memegang jawatan, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan tidak mendapat projek kerajaan negeri.

"Orang Shahidan yang kalah dalam pertandingan jawatan parti (tahun lepas) telah diketepikan sama sekali.

"Berikutan itu, kini suara-suara tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Umno Perlis semakin kuat kedengaran," katanya.

Shahidan, yang masih memegang ketua perhubungan Umno Perlis, terpaksa melepaskan jawatan menteri besar kepada Mohd Isa susulan campur tangan istana.

Hashim juga berkata, pihaknya kecewa kerana Umno belum mengambil sebarang tindakan ke atas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengingkari arahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika krisis pelantikan menteri besar Perlis, Mac tahun lalu.

Katanya, Abdullah mengarahkan semua Adun Perlis menyokong pelantikan Shahidan, seperti dipersetujui presiden Umno itu, sebagai menteri besar.

Sebaliknya, wakil-wakil rakyat itu menyokong Mohd Isa untuk jawatan tersebut.

"Selepas lapan bulan Umno tidak mengambil tindakan ke atas Adun-adun berkenaan yang terang-terang melanggar arahan perdana menteri dan presiden Umno," katanya.

Tiada ulasan: