Selasa, 27 Januari 2009

Polis serah kertas siasatan kematian Kugan Rabu ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kematian A. Kugan ketika ditahan dalam lokap polis kepada pejabat Peguam Negara pada Rabu ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, kertas siasatan akan siap sepenuhnya pada Selasa selepas beberapa lagi saksi memberikan keterangan.

"Semalam kita telah selesai mengambil keterangan daripada 11 anggota polis yang bertugas ketika kematian Kugan. Selain mereka, kita juga telah memanggil beberapa orang saksi yang terlibat ketika Kugan ditahan dan ketika dia meninggal dunia.

"Keterangan saksi-saksi ini amat penting dalam membantu siasatan kes kematian Kugan. Siasatan telah dijalankan secara profesional dan adil oleh pasukan khas Bukit Aman," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Khalid berkata, saksi yang diambil keterangan termasuklah individu yang melihat polis menahan Kugan pada 15 Jan lepas.

Katanya, keterangan saksi penting ini akan selesai dirakam selewat-lewatnya malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, laporan bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Kugan semalam tidak akan ada campur tangan polis.

"Bedah siasat itu adalah satu bedah siasat bebas dan saya harap pihak yang terlibat tidak membuat spekulasi bahawa polis akan campur tangan dalam hasil laporan itu nanti," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam berkata, keluarga Kugan berharap agar kertas siasatan yang bakal diserahkan kepada pejabat Peguam Negara itu nanti dilakukan secara telus tanpa berat sebelah.

Katanya, mereka menghormati tindakan polis yang mengambil keterangan daripada pihak yang terlibat dalam mengenal pasti punca sebenar kematian Kugan.

"Apa yang kita mahu sekarang ialah keluarga Kugan mendapat keadilan kerana nyawa tidak boleh dibeli dengan wang. Saya berharap kes ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkuasa serta kerajaan Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kugan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, ditemui mati ketika ditahan dalam lokap di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Jan lepas.

Tiada ulasan: