Sabtu, 24 Januari 2009

Derita pelajar di Palestin dapat simpati rakyat Kelantan

Rizal Tahir


KOTA BHARU - Sebahagian daripada RM1.4 juta derma rakyat Kelantan kepada Tabung Cakna Palestin akan diguna untuk membantu pelajar-pelajar di Palestin yang kekurangan prasarana tempat belajar akibat diserang Israel.

Banyak sekolah musnah ketika tentera haram Yahudi melancarkan perang ke atas Gaza selama 22 hari, bermula akhir Disember lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berkata, sebahagian kutipan derma berkenaan akan digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan ambulans serta membantu pelajar.

"Kita akan mengenal pasti keperluan utama untuk dibeli antaranya ubat, menyedia prasarana sekolah dan ambulans," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu, hari ini.

Sebelum itu beliau melawat pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mohd Alhasyhiemi Mohd Hussin, 18 di Unit Rawatan Rapi akibat lemas ketika banjir melanda Kem PLKN, Tegas Mesra Selama, Perak 1 Januari lalu.

Mangsa yang mana sebelum ini koma, sekarang sudah mulai sedar. Difahamkan berlaku jangkitan kuman di bahagian paru-parunya.

Husam berkata, kutipan sebanyak RM1.4 juta diperolehi pada pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi yang disumbang pelbagai pihak.

Katanya juga pegawai khasnya, Dr Rosli Alani Abdul Kader akan mengetuai rombongan kerajaan Kelantan ke Palestin bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk yang menderita akibat serangan ganas Yahudi.

"Kita akan membeli keperluan untuk disampaikan kepada mereka di Mesir memandangkan negara itu berdekatan dengan Palestin," katanya.

Husam yang juga Naib Presiden PAS melahirkan rasa kesal sikap pengurusan PLKN yang lambat memaklum kejadian yang menimpa mangsa kepada ibu bapanya.

Menurutnya banyak rungutan daripada ibubapa terhadap sikap pengurusan PLKN yang dianggap sambil lewa.

"Ibubapa tidak menyalahkan pihak PLKN terhadap kemalangan yang berlaku, tetapi mereka meminta supaya PLKN memaklumkan segera mengenai kemalangan yang menimpa anak mereka," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan PLKN menempatkan seorang doktor di setiap kem PLKN dan bukannya penolong pegawai perubatan seperti yang dilakukan sekarang.

Pada kunjungan itu beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa mangsa, Mohd Husin Yunus. - mj _

Tiada ulasan: