SIASAH DAILY
KUALA TERENGGANU : Kerajaan Malaysia dipersoal menyebelahi pihak mana dalam isu serangan Israel ke atas Palestin ekoran perkembangan terbaru melibatkan tangkapan terhadap peserta himpunan aman di Dataran Merdeka.
Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu yang mempersoal tindakan tersebut berkata, kerajaan dilihat seperti tidak menyebelahi Palestin dan mula memperlihatkan wajah sebenar mereka.
"Mereka (pemimpin kerajaan) bercakap seolah-olah membenci apa yang dilakukan oleh Israel termasuk membenarkan para pelajar universiti menyertai perhimpunan-perhimpunan mengutuk Israel.
"Tetapi apabila rakyat turun menyatakan bantahan ke atas Isreal, 21 orang telah ditangkap. mungkin selepas ini kerajaan akan memberikan alasannya menangkap peserta himpunan itu tetapi kenyataanya 21 orang telah ditangkap," kata beliau mengulas perkembangan tersebut dalam ketika berkempen membantu calon PAS dalam satu ceramah di Losong.
Mohammad juga menyifatkan tindakan itu sebagai 'terbongkarnya wajah sebenar kerajaan BN' yang tunduk dan lebih takut kepada tekanan Amerika tetapi cuba untuk menunjukkan mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk Israel kerana sebab-sebab politik khususnya untuk memenangi hati pengundi di Kuala Terengganu.
"Biasanya penipuan itu tidak lama," kata beliau.
Justeru beliau menggesa pengundi Kuala Terengganu menyatakan bantahan terhadap sikap kerajaan itu melalui undi pada 17 Januari ini.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua turut membidas tindakan pihak berkuasa menangkap peserta himpunan aman di Dataran Merdeka itu.
"Pihak kerajaan khususnya Umno sebelum ini mengajak rakyat bersatu termasuk parti-parti politik diminta mengenepikan berbezaan untuk bersama-sama mengutuk keganasan Israel. tetapi bila rakyat turun mereka ditangkap," katanya dalam ceramah di Cabang Tiga.
Kata Tian Chua, jika kerajaan benar-benar mahu bersatu dalam isu Palestin PAS, PKR dan DAP akan mengembeling ahli-ahlinya untuk bersama-sama menyatakan bantahan terhadap Israel.
Dalam kejadian di Dataran Merdeka, polis telah menahan 21 peserta perhimpunan aman yang menamakan diri sebagai Gabungan Anti Perang (GAP). Penahan tersebut melibatkan 13 lelaki termasuk seorang remaja berumur 15 tahun dan lapan perempuan.
Antara yang turut ditahan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, ahli Parlimen Klang, Charles Santiago serta Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Arutchelvan Subramaniam.
Polis telah menahan kumpulan tersebut yang berarak dari perkarangan bangunan Majlis Peguam ke Dataran Merdeka kira-kira pukul 8 malam kerana dikatakan degil dan enggan beredar setelah diarahkan berbuat demikan.
Sementara dalam isu berkaitan, Mohammad turut mempersoalkan wang derma yang dikutip oleh kerajaan melalui masjid-masjid di seluruh negara atas nama bantuan kepada Palestin akan diagihkan kepada pihak mana.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengarahkan wang derma dimasjid-masjid pada hari Jumaat selama tiga minggu berturut diserahkan kepada pihaknya untuk tujuan membantu rakyat Palestin.
Bagaimanapun kata Mohammad, Malaysia selama ini dilihat tidak mengiktiraf kerajaan Palestin dipimpin oleh Hamas yang memenangi pilihan raya negara itu sebaliknya lebih dekat dengan kumpulan yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas (Fatah).
Antaranya sebelum ini Malaysia sebagai tuan rumah persidangan khas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pernah mengiktiraf kehadiran wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai mewakili rakyat Palestin dan mengenepikan wakil Hamas sebagai kerajaan yang sah dinegara itu yang turut hadir dalam persidangan tersebut.
Justeru kata Mohammad, walaupun 10 sen didermakan oleh rakyat ia perlu dibantah jika disalurkan kepada kumpulan Mahmoud Abbas yang didakwa bersekongkol dengan Yahudi.
"Kerajaan perlu jelaskan ke mana wang derma itu akan disalurkan, kalau kepada kumpulan Mahmoud Abbas maknanya wang umat Islam dari Malaysia diberi kepada kumpulan yang tidak berjuang," ujar beliau kepada hampir 1000 penduduk sekitar Losong yang hadir mengikuti ceramahnya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan