PAS dan PKR setuju Azmin Ali ganti Azizah
Beliau dijangka mengambil alih peranan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang apabila Parlimen bersidang 18 Ogos nanti setelah Presiden PKR itu meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh semalam.
Sebagai ketua whip Pakatan Rakyat, Mohamed Azmin dilihat sebagai calon yang paling sesuai mengisi kekosongan tempat itu ekoran peletakan jawatan Dr Wan Azizah semalam bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Salahuddin Ayub berkata ia terserah kepada PKR untuk menentukan calon yang akan menjadi Ketua Pembangkang sebelum pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh diadakan.
Bagaimanapun, katanya Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak adalah orang yang paling layak memangku jawatan Ketua Pembangkang memandangkan beliau seorang pemimpin kanan dalam PKR.
"Biasa diadakan perbincangan antara ketiga-tiga parti. Tetapi bagi saya sebagai ahli Parlimen, saya menghormati konvensyen... bermakna terus memberi kepada PKR untuk diputuskan," katanya yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian.
Ketua Penerangan PKR Tian Chua pula berpendapat perkara itu tidak perlu dibesar-besarkan.
Beliau yang juga anggota Parlimen Batu bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai siapa yang layak memangku jawatan Ketua Pembangkang di persidangan Dewan Rakyat tidak lama lagi.
"Kita (PKR) mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengisi kekosongan itu (ketua pembangkang). Buat masa sekarang kita tiada cadangan lagi untuk itu (memilih pemangku jawatan)," katanya.
Anggota Parlimen Jelutong dari DAP, Ooi Chuan Aun berkata tidak timbul perebutan kuasa bagi jawatan ketua pembangkang kerana wujud persetujudan dan persefahaman di kalangan ketiga-tiga parti dalam gabungan itu.
"Seperti biasa peralihan kuasa mestilah kepada orang yang paling kanan iaitu Azmin untuk memangku jawatan Ketua Pembangkang sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Anwar selepas dia menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh itu nanti. Dia (Azmin) dilihat calon yang paling sesuai buat masa ini," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan