Isnin, 25 Ogos 2008

PKR dakwa 944 nama pengundi hilang dari senarai daftar

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa 944 nama pengundi telah "hilang" daripada senarai daftar pemilih bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh yang dikemaskini sehingga Julai 2008.

Timbalan pengarah pilihan raya parti itu Fuziah Salleh berkata surat bantahan telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita mendapati seramai 944 nama pengundi yang layak mengundi telah hilang dari senarai walhal mereka ini telah pun mengundi pada Mac tahun ini," katanya pada sidang akhbar di bangunan Yayasan Aman, di Kubang Semang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuantan mendakwa daripada jumlah itu, sebanyak enam orang dikenal pasti telah berpindah dan bertukar alamat, 81 orang telah gagal dikesan dan 868 orang telah digugurkan nama mereka daripada daftar pengundi.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 58,459 pengundi berdaftar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPR Negeri Ilyani Farha Mohammad enggan mengulas mengenai dakwaan itu, dan berkata, pihaknya akan mengadakan sidang akhbar esok berhubung hari pengundian Selasa ini. BERNAMA

Tiada ulasan: