Selasa, 26 Ogos 2008

Karpal Singh buat laporan polis nafi laporan sebuah akhbar

BUKIT MERTAJAM: Dalam kesibukan penyokong parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh membuat laporan polis mengenai ugut mengugut, Pengerusi DAP Karpal Singh membuat laporan mengenai laporan akhbar.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu membuat laporan polis semalam terhadap laporan akhbar berbahasa Melayu yang mendakwa beliau menolak Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Supt Shaharon Anuar Abdul Malik berkata Karpal membuat laporan itu pada pukul 6.53 petang semalam menafikan kenyataan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertajuk "DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu".

Kes itu disiasat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shaharon Anuar berkata semalam, polis turut menerima dua laporan berhubung jenayah berkaitan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh itu.

"Laporan pertama kita terima daripada seorang wanita berusia 48 tahun. Menurut pengadu ketika beliau dan lapan rakannya menghantar risalah kepada pengundi, wanita itu didatangi lima orang lelaki yang menimbulkan provokasi dengan mengatakan supaya keluar daripada Barisan Nasional kerana parti itu penipu.

"Kumpulan lelaki itu juga turut mengambil risalah dan CD. Kes itu disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda," katanya.

Shaharon Anuar berkata laporan kedua diterima daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang menerima risalah bertentangan dengan Akta Pilihan Raya dan kes itu disiasat menurut Seksyen 500 Kanun keseksaan.

Katanya polis turut memberi amaran kepada calon-calon serta parti-parti yang bertanding supaya tidak membuat apaapa perarakan pada bila-bila masa termasuk selepas keputusan pilihan raya diumumkan malam ini. BERNAMA

Tiada ulasan: