Selasa, 19 Ogos 2008

Amalan 5S selaras tuntutan Islam
Atiff Idris


KOTA BHARU - Jangan terkejut kalau anda melihat kertas tanda nama bergantung di siling dan dinding bangunan dengan pelbagai warna di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Darulnaim.

Biar pun semua sudah kenal pintu, suiz, lampu dan sebagainya namun ada tulisan yang dilekat khas sebagai tanda nama kepada semua barangan tersebut.

Sebenarnya inilah Amalan 5S yang diadaptasikan di seluruh jabatan kerajaan Kelantan meniru amalan sudah lama digunapakai di Jepun. 5S bermaksud sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal.

Dan baru-baru ini Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob merasmikan program gotong royong perdana Amalan 5S Blok 1 Kota Darulnaim.

Ketika berucap di majlis itu beliau berkata, konsep 5S bertepatan dengan Islam walaupun bermula di Jepun, di mana ia merupakan falsafah perkhidmatan rakyat negara itu yang mengamalkan disiplin diri tinggi.

"Kita sebagai umat Islam haruslah istiqamah menggunakan pendekatan tersebut tanpa mengabaikan taqwa yang menjadi kekuatan dalam badan kita.

"Amalan 5S dipraktik bagi mengemaskini segala urusan di pejabat membabitkan seluruh aspek. Ketika berada di pejabat janganlah kita menganggap seperti berada di tempat lain sehingga tiada komunikasi di antara pegawai dan kakitangan," katanya.

Menurutnya Amalan 5S selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang digunapakai Kerajaan Kelantan meliputi Ubudiyyah, Mas-uuliyyah dan Itqan.

Kata beliau juga perkhidmatan seseorang kakitangan bukan sekadar dinilai ketua jabatan semata-mata, namun penilaian prestasi sebenar berada di bawah nilaian Allah Taala.

Penyelaras Program 5S, Zamri Ismail berkata, program itu telah dipraktik di 23 jabatan kerajaan di Kelantan di mana ada jabatan yang telah menerima sijil pengiktirafan masing-masing.

Di antara zon yang terbabit dengan gotong royong tersebut iaitu Pejabat Menteri Besar, Pejabat Timbalan Menteri Besar, Dewan Undangan Negeri, Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (A), (B) dan (C) dan zon awam. - mj

Tiada ulasan: