Khamis, 28 Ogos 2008

PAS rakam tahniah kemenangan PKR di Dewan Rakyat
Ismail Hashim

KUALA LUMPUR : PAS merakamkan ucapan tahniah pada Keadilan atas kemenangan besar Ketua Umum parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh pada 26 Ogos baru lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di institusi perlembagaan negara itu sebelum meminta soalan no. 4 nya dijawab oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas kemenangan besar yang dicapai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam pilihan raya Permatang Pauh," ucap Ketua Penerangan PAS sambil mendapat tepukan dari kalangan anggota parlimen PR.

Dalam sidang yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 itu telah dapat didengari oleh jutaan rakyat negara ini.

Belum sempat beliau menghabiskan ucapan itu, penyokong BN telah mengganggu kononnya tidak berkaitan dengan acara sidang. Keadaan menjadi lebih gamat bila Haji Mahfuz membangkitkan 'BN kalah juga meskipun berlindung di belakang punggung Saiful', disambut gelak ketawa sebahagian besar hadirin.

Bermula dari situ, kalangan penyokong BN dikepalai oleh Rompin, Dr Jamaluddin Jarjis meminta Haji Mahfuz menarik balik tanpa menyatakan perkataan berkaitan. Peristiwa menarik ini berakhir begitu sahaja tanpa ada sebarang tarik balik meskipun di kalangan penyokong BN masih tidak berpuas hati.

Dalam soalan tambahannya berkaitan pembinaan sekolah di seluruh negara yang hanya diberikan pada dua kontraktor sahaja, beliau juga mempersoalkan kenapa tidak diagihkan pada lebih ramai kontraktor yang ada.

Oleh sebab soalan tambahannya agak panjang, beliau telah ditegur oleh penyokong kerajaan yang menyifatkan beliau berceramah, Haji Mahfuz berkata, "mereka semua tidak berpeluang mendengar ceramah saya di Permatang Pauh...!" tegasnya.

Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar telah menang dengan majoriti 15,671 undi bila mendapat undi sebanyak 31,195, calon BN, Dato' Ariff Shah Omar Shah (15,524) dan calon Akim, Hanafi Mamat 92 undi dan hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran penyandang kerusi itu, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar meletakkan jawatan bagi membuka laluan pada suaminya menjadi ahli parlimen bagi membawa perubahan pada landskap politik negara.

Sementara itu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada sesi pagi 28 Ogos seterusnya berperanan sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Azizah sebelum ini.

Ekoran itu, Anwar pasti berperanan besar di dalam membahaskan bajet negara 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Jumaat 29 Ogos.

Anwar dilihat sebagai tokoh yang paling layak bercakap tentang bajet, kewangan dan ekonomi kerana pengalaman menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada 2 Disember 1998 oleh Dr Mahathir ketika berkuasa dahulu.- IBH