Selasa, 26 Ogos 2008

Penyokong PAS, KeADILan, DAP gabung laung sorakan reformasi
Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Sorakan reformasi bergema menengelamkan laungan 'hidup BN' di semua pusat pengundian seluruh Parlimen P44 Permatang Pauh sejak jam 8.00 pagi lagi.

Sorakan yang selama ini berkumandang di setiap pidato Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim kini berulang lagi kali ini lebih bersepadu dengan jentera Pakatan Rakyat yang dianggotai bersama PAS dan DAP.

Keadaan menjadi semakin tegang menjelang tengahari ini di mana ramai penyokong Pakatan Rakyat akan berhimpun terutamanya di kawasan panas di setiap tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Antara Pusat Mengundi yang dijangka panas sehingga ke petang ialah Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang di mana Anwar dan isterinya, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail membuang undi pagi ini.

Tempat lain di Dun Penanti yang dirasa menerima bahang kehangatan ialah Sekolah Menengah Guar Perahu dan Taman Guar Perahu. Di Dun Permatang Pasir pula di Sekolah Kebangsaa Permatang Pasir, Pekan Permatang Pauh dan Tanah Liat.

Sementara itu, di Dun Seberang Jaya pula meliputi Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya 2 di mana calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah membuang undi. Lain tempat di Dun tersebut ialah Jalan Baru dan Permatang Rawa.

Harakahdaily difahamkankan hampir terjadi satu pergaduhan antara penyokong ke dua-dua parti bilamana seorang anggota polis berpangkat Inspektor memarahi penyokong Pakatan Rakyat kerana mendesak seorang ahli Umno yang berada depan pintu masuk pusat pengundian di Sekoah Kebangsaan Permatang Pasir dengan memakai baju berlambang dacing.

Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman yang berada di situ terpaksa masuk campur untuk meredakan keadaan yang nampak semakin bersemangat. - mr_

Tiada ulasan: