Isnin, 25 Ogos 2008

(Dikemas kini)

Imam saksi persoal sumpah Saiful, Anwar dakwa bukti baru konspirasi politik
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengakuan imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Poriti, yang menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukharii Azlan di sini malam tadi sebagai bukti terbaru wujudnya konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau.

"Pengakuan ini merupakan satu lagi bukti bahawa wujudnya kempen politik kotor (dalam pilihan raya kecil ini).

"Dia (Ramlang) membantu memberi penerangan bahawa ada konspirasi jahat Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

"Sebab itu beliau betul-betul kelam-kabut (ketika pilihan raya kecil)," kata beliau pada sidang akhbar di Yayasan Aman - Pusat Operasi Utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini tengah hari tadi.

Sepanjang malam tadi bermula pukul 8 malam hingga 12.40 tengah malam Ramlang muncul di khalayak membuat pengakuan bahawa beliau telah diarah untuk menjadi saksi upacara bersumpah yang dibuat oleh Saiful pada 15 Ogos lalu.

Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Beliau disaingi Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia.

Ketika ditanya sama ada kemunculan Ramlang akan membantu beliau memperoleh kemenangan selesa esok, Anwar berkata, beliau yakin ia akan membantu menjelaskan kepada penduduk Permatang Pauh mengenai apa yang berlaku.

"Kenyataan ini hanya membuktikan ada taktik kotor menggunakan apa sahaja untuk berkempen," kata beliau.

"Saya percaya orang yang beriman, yang tidak terperangkap kerana wang akan bertindak dengan bebas.

"Ini satu perkembangan yang baik. Bagaimanapun kita terpaksa menjelaskan, saya sudah meminta jentera kami supaya menyampaikan maklumat di sebanyak tempat yang boleh," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang melepaskan kerusi tersebut bagi membolehkan Anwar bertanding. Anak mereka, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut hadir.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bersumpah ekoran pengakuan imam itu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat berkata, al-Quran dan agama tidak harus digunakan untuk tujuan politik.

"Jangan sama sekali gunakan al-Quran dan agama untuk politik," katanya.

Dalam pada itu, mStar Online difahamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dijangka mengadakan sidang media di Kuala Lumpur pukul 2 petang ini.

Sidang media itu bertujuan memperjelaskan tindakan Ramlang muncul dan memberi kenyataan secara umum malam tadi.

Tiada ulasan: