Ahad, 31 Ogos 2008

Nasihat Azizah Anwar jangan lupa penduduk Permatang Pauh
MSTAR ONLINE


BUKIT MERTAJAM: Majlis kesyukuran Anggota Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini penuh dengan kata-kata nasihat yang disampaikan Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis sarapan pagi bersama jentera wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Dr. Wan Azizah dalam ucapannya sempat menasihat suaminya supaya tidak melupakan jasa penduduk Permatang Pauh yang banyak berkorban untuk membela keluarga mereka selama ini.

Dr. Wan Azizah adalah Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh dan merupakan bekas Anggota Parlimen itu sejak 1999 sebelum meletakkan jawatan pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding di kawasan itu.

Sementara itu, ketika berucap, Anwar, yang juga Penasihat PKR, pula menasihati Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Muhammad Fairus Khairuddin supaya lebih kerap turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, walaupun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti itu sibuk menguruskan pentadbiran negeri, beliau perlu meluangkan masa untuk menemui penduduk di kawasannya berikutan maklum balas penduduk menunjukkan pemimpin muda PKR itu jarang kelihatan di kawasannya sejak memenangi pilihan raya umum Mac lalu.

"Saya susah hati kerana tidak pernah orang komplen secara terbuka begini dan mereka minta saya nasihatkan Fairus. Memang kita sibuk tetapi kenalah luangkan masa untuk menemui penduduk kerana mereka boleh faham dan terima kalau kita sibuk tetapi mereka tidak boleh terima kalau kita tak turun padang," kata Anwar.

Fairus yang ditemui pemberita kemudian berkata, beliau menerima teguran itu secara positif dan akan berusaha memperbaiki perkhidmatan kepada penduduk bukan sahaja di Penanti malahan di Pulau Pinang.

Katanya, beliau banyak menumpukan masa untuk menyusun pentadbiran kerajaan negeri bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng sejak lima bulan lalu dan jika orang ramai mempunyai sebarang masalah boleh mendapatkan bantuan di Pusat Khidmatnya di Tanah Liat.

Tiada ulasan: