Isnin, 25 Ogos 2008

Mufti Wilayah Persekutuan: Kredibiliti Ramlang diragui, akui sumpah Saiful sah
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh sangsi dengan kredibiliti imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang tampil membuat pengakuan bahawa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tidak sah.

Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab Feqah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.

"Saya sangsi sama ada beliau boleh baca kitab (Feqah) atau tidak. Apabila kita mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan soal hukum, kita seolah-olah bercakap bagi pihak Allah.

"Jadi kita perlu bercakap dengan ilmu dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa merujuk sebarang kitab yang berkaitan maka akan menerima siksaan dari Allah di neraka," katanya dalam sidang media di Pusat Islam di sini hari ini.

Semalam, Ramlang tampil membuat pengakuan di Permatang Pauh bahawa sumpah yang dilakukan Mohd Saiful tidak sah dan beliau 'dipaksa' untuk menjadi saksi dalam upacara tersebut.

Ramlang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17.

Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Bagaimanapun Wan Zahidi menolak dakwaan tersebut dan mengakui sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful itu adalah sah mengikut hukum Islam.

"Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa sumpah itu perlu dilakukan setelah selesai proses mahkamah adalah tidak betul.

"Ini tiada kaitan dengan mahkamah kerana sumpah yang dilakukan Mohd Saiful ialah atas pilihan beliau sendri tanpa arahan mana-mana pihak," katanya.

Tambah beliau, sumpah terbahagi kepada dua iaitu sumpah dalam perbicaraan di mahkamah dan yang kedua ialah di luar perbicaraan mahkamah.

"Sumpah sah dilakukan oleh mana-mana individu dengan pilihannya sendiri manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah hanya dengan menyebut nama Allah," katanya.

Namun jelas beliau, berdasarkan kitab Hasyiah I'anah al-Talibin juga ada menyebut mengenai pemberatan atau perkara tambahan yang boleh dilakukan semasa bersumpah iaiatu dari segi masa dan tempat.

"Berdasarkan kitab ini, ada menyebut kita boleh bersumpah selepas Solat Asar pada hari Jumaat, di dalam masjid disisi mimbar atau meriba al-Quran dan meletakkan tangan diatasnya," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful bukan sumpah mubahalah kerana sumpah itu memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Ditanya mengenai kenyataan Ramlang yang mendakwa bahawa kehadiran beliau semasa Mohd Saiful bersumpah adalah atas 'arahan pihak atasan', beliau berkata perkara itu adalah sesuatu yang normal.

"Kebetulan dia bertugas pada hari itu jadi tidak mustahil pegawai atasan masjid mengarahkan beliau untuk turut sama dalam upacara tersebut bagi membuat laporan mengenai apa yang berlaku. Itu perkara biasa." katanya.

Wan Zahidi turut melahirkan kembimbangannya mengenai situasi sekarang seolah-olah sumpah boleh dilakukan dengan sesuka hati tanpa memikirkan kesannya.

"Saya juga bimbang dengan tindakan imam tersebut (Ramlang) yang mengatakan sumpah itu tidak sah dan tidak mengikut syarak.

"Masyarakat akan keliru dengan kenyataan beliau itu. Saya berharap perkara seumpama ini tidak dipolitikkan untuk kepentingan peribadi," katanya.

Tiada ulasan: