Jumaat, 29 Ogos 2008

Galasan bebanan Anwar makin berat
Ahmad Lutfi Othman


Sejak awal tiada siapa berani meramalkan BN boleh merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh, apatah lagi berdepan Anwar Ibrahim, tokoh karismatik dan menjadi kebanggaan penduduk setempat.

Tumpuan hanya kepada sejauh mana majoriti kemenangan Dr Wan Azizah Ismail pada Mac 2008 (13,398 undi) dapat dikurangkan; itu sudah dianggap satu kejayaan.

Jalan pemulihan Umno sebenarnya belum tertutup mati. BN masih berpeluang mencari strategi terbaik, namun ia seperti tidak mahu belajar daripada sejarah.

Bukan perlu mengggali pengalaman lama zaman purba atau pramerdeka, hanya iktibar daripada pilihan raya ke-12, beberapa bulan lalu. BN mensesiakannya. Seperti terlalu sukar buatnya menimba pengajaran daripada kekalahan. Pemimpinnya tetap angkuh mendongak ke langit. Justeru, ia terus tersilap membaca realiti

Umno lebih suka menyalahkan parti-parti komponen BN lainnya. Kehilangan teraju kuasa di Kedah, Perak dan Selangor tidak mampu menginsafkannya.

Lalu ditunjukkan bahawa kerusi yang kalah bukannya milik Umno tetapi hak MCA, Gerakan atau MCA. Mereka mendakwa, pengundi Melayu masih menyokong Umno.

Buktinya, kata mereka, jumlah kerusi Dun di kawasan Melayu di Selangor dan Perak, yang dikuasai Umno, melebihi kerusi PAS atau KeADILan yang diwakili Adun Melayu

Dari sisi lain, jentera kempennya yang terbukti gagal pada Mac 2008 masih beroperasi cara lama. Isu-isu sensasi yang tiada kaitan dengan kehidupan rakyat diperbesarkan, manakala keperitan menanggung bebanan seharian diremehkan, dan paling menonjol, media yang ditungganginya terus memperbodoh-bodohkan minda pengundi.

Serangan dihamburkan semahunya bagai mahu melepaskan geram, sedangkan yang harus diutamakan ialah usaha memujuk rakyat dengan pendekatan berhemah.

Peliknya, itulah juga yang dilakukan dalam pertempuran di kubu kuat Anwar. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dihujani pelbagai kecaman, kata-nista, serta dilonggok fitnah paling hina, dan ia diulang-ulang melalui media utama sehingga meninggalkan kesan berbeza, yakni menikam balik Umno-BN.

Pengaruh media baru seperti internet kepada warga Permatang Pauh mungkin tidak sekuat Lembah Klang, namun media di bawah kawalan mutlak Umno, yang beroperasi secara "tunggang-langgang" menyebabkan rakyat "semakin meluat dan jijik" dengan pemerintah.

Anda tidak perlu turun padang meninjau perjalanan kempen. Cukup dengan membuka lembaran akhbar dan menatap siaran berita TV. Aneh ya, mengapa Umno-BN harus terus mengulangi "cerita lama keganasan" sehingga memaksa jurufoto "yang dibelasah" tinggal begitu lama di hospital?

Begitu juga dengan adu-domba tentang perselisihan PAS-KeADILan, dan "permainan lapuk" menimbulkan sentimen kevbencian orang Melayu terhadap DAP. Hatta rakaman sumpah laknat Saiful Bukhari makin membuatkan Anwar mendapat simpati. Serba tidak menjadi kempen BN!

Akhirnya keputusan menunjukkan dua daripada tiga pengundi di Permatang Pauh menyokong Anwar. Majoriti yang diperolehi Anwar (15,671 undi) adalah lebih besar daripada jumlah undi Arif Shah (15,524) sendiri.

Kekhuatiran awal bahawa pengundi Melayu mula sangsi dengan keperibadian Anwar, ekoran sumpah Saiful, bagai tertolak terus. Ia lebih kepada bagaimana isu itu dibentangkan kepada khalayak, dengan rekod lama pertuduhan 1998 yang belum dapat dilupai.

Banyak pihak mahu momentum kemenangan ini membawa Pakatan Rakyat ke mercu kuasa dan merintis laluan mudah Anwar ke Putrajaya. Impian itu pastinya tidak mudah digapai.

Ranjau dan duri menanti Anwar, selain kes dakwaan liwat yang boleh menjerutnya bila-bila masa. Galasan bebanan di belakang Anwar makin memberat.

Kemenangan besar ini tentu menggusarkan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, tetapi ia juga menuntut kebijaksanaan Anwar bersama pimpinan Pakatan menempuh cabaran baru yang menjadi perhatian istimewa masyarakat.

Usah persiakan harapan rakyat. - mks._

Tiada ulasan: