Khamis, 28 Ogos 2008

Seniman Ahmad Mahmud meninggal dunia
Oleh ZIEMAN


PETALING JAYA: Seniman lagenda Datuk Ahmad Mahmud yang terkenal dengan watak Raja Bersiong dan Dr. Ismadi dalam filem Ibu Mertuaku menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10 malam tadi di kediamannya di sini, No 21, Jalan SS1/35 Kg Tunku.

Ahmad Mahmud, 85, sebelum ini dirawat di Pusat Perubatan Pantai, Jalan Bukit Pantai disebabkan uzur dan penyakit buah pinggang yang dihadapi sejak tujuh tahun lalu.

Ahmad yang pernah membintangi beberapa filem bersama Seniman Agung P Ramlee seperti Ibu Mertuaku, Hang Tuah dan Bujang Lapok dimasukkan ke hospital itu pada awal bulan ini kerana demam sejak dua minggu lalu.

Isteri Allahyarham, Datin Hadijah Mohamad, 83, berkata suaminya tidak lagi aktif berlakon dan mengarah sejak mengetahui menghidapi penyakit buah pinggang pada Oktober 2001.

Selain berlakon, Ahmad Mahmud juga boleh menyanyi dan kerap juga mengguanakan suaranya sendiri dalam filem-filem lakonannya - seperti filem Pertarungan (lagu: Pertarungan) dan Isi Neraka (lagu: Tanda Kasih - duet dengan Rahmah Rahmat).

Ahmad Mahmud yang dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan mula berkerja di Studio Jalan Ampas, Singapura pada 1953. Seniman ini mendapat sanjungan sebagai bintang filem yang berkebolehan tinggi, hasil lakonannya sebagai pelakon utama dalam filem Iman.

Allahyarham sudah berlakon lebih 80 filem dan pernah menerima pelbagai anugerah sepanjang hampir setengah abad bergelar pelakon. Kali terakhir dia beraksi di layar perak ialah dalam drama bersiri Bukit Lalang arahan Mior Hashim Manap pada 1997.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Khatijah Mohamad, 79, Allahyarham dikurniakan dua anak perempuan serta seorang anak lelaki dan kini mempunyai sembilan cucu serta seorang cicit.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Bukit Kiara esok, 28 Ogos, selepas Zohor.

Tiada ulasan: