Sabtu, 23 Ogos 2008

Pesuruhjaya polis Sarawak naik berang insiden koperal mabuk acu pistol

KUCHING: Seorang wanita berusia 22 tahun cedera dibelasah seorang anggota polis berpangkat koperal dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang turut mengacukan pistol ke arah mangsa dalam kejadian yang berlaku malam tadi.

Pesuruhajaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata koperal tersebut kini dalam tahanan polis dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Kita tidak mampu lagi mempunyai anggota-anggota polis sebegini dalam pasukan. Orang macam ini tidak berterima kasih kepada pasukan," kataya selepas menyaksikan majlis serah tugas jawatan Timbalan Pesuruhajaya Polis Sarawak oleh Pemangku SAC II Thaiveegan Arumugam kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis baru SAC I Datuk Hamza Taib di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Beliau yang ternyata naik berang dengan tindakan anggota polis tersebut berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil seperti yang termaktub dalam undang-undang, ke atas suspek yang telah melanggar beberapa kesalahan jenayah dan lalulintas.

"Sudah banyak kali saya menegaskan bahawa bahawa saya tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana pegawai dan anggota polis yang melanggar tatatertib pasukan, berkelakuan tidak senonoh dan tidak menjaga displin dan imej pasukan. Kelakuan ini amat memalukan pasukan," katanya.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, koperal yang berusia 31 tahun itu dipercayai sedang memandu balik dalam keadaan mabuk ke Komplek Polis Tabuan Jaya di sini apabila tiba-tiba melanggar kereta Kelisa milik mangsa di Bulatan Batu 3.

Selepas melanggar kereta mangsa, suspek tersebut dikatakan meluru keluar dari keretanya ke arah kereta mangsa dan terus mengacukan pistol ke arah mangsa sambil mengugut untuk membunuh mangsa yang bertindak keluar dari kereta dalam ketakutan.

Selain diacu dengan pistol jenis Browning, mangsa yang bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di salah sebuah syarikat swasta di sini turut dipukul oleh suspek di bahagian kepala dengan menggunakan pistol yang sama sambil menerajang bahagian kaki dan tangan mangsa.

Mangsa cuba merampas pistol tersebut tetapi gagal dan bertindak melarikan diri untuk meminta bantuan namun dapat dikejar suspek tersebut yang sekali lagi mengacukan pistol ke arah mangsa dan mengugut untuk membunuhnya.

Koperal tersebut bagaimanapun bertindak meninggalkan mangsa ditempat kejadian dan sejurus selepas itu orang awam membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan.

Selang 15 minit kemudian, suspek sekali lagi bertindak liar dengan mengacukan pistol ke arah seorang wanita berusia 34 tahun dipintu masuk Kompleks Polis Tabuan Jaya.

Sebelum itu, kereta Perodua Viva yang dipandu wanita berkenaan telah dilanggar oleh suspek di Jalan Stutong namun selepas melanggar kereta wanita berkenaan suspek dikatakan terus memecut dari tempat kejadian

Wanita yang bertugas sebagai kerani pentadbiran di salah sebuah syarikat swasta itu bertindak mengejar suspek sehingga pintu masuk Kompleks Polis Tabuan Jaya dan suspek terus keluar dari kereta dan mengetuk cermin kereta mangsa dengan pistolnya sambil memaki serta mengajak wanita berkenaan bertumbuk.

Mangsa yang berada dalam keadaan takut turut melarikan diri dan membuat laporan polis.

Anggota polis yang sedang bertugas di Pos Pengawal Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya itu yang menyaksikan "drama" tersebut turut diugut apabila suspek mengacukan pistol ke arahnya. BERNAMA

Tiada ulasan: