Kempen di Permatang Pauh, senarai 'Kabinet' Anwar muncul di Parlimen
Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN
KUALA LUMPUR: Demam pilihan raya kerusi Parlimen Permatang Pauh turut merebak ke ibu negara apabila risalah keanggotaan Jemaah Menteri 2008 pimpinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tersebar meluas di lobi Parlimen hari ini.
Senarai tersebut muncul di Permatang Pauh sejak malam kelmarin - hari keempat kempen pilihan raya kecil kerusi tersebut.
Masing-masing parti utama yang bertanding menafikan bertanggungjawab menyebarkan risalah sedemikian.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah hari ini menafikan ia dilakukan oleh BN.
Ia didapati turut diedarkan kepada pekerja-pekerja pilihan raya BN di Seberang Jaya.
Anwar juga menimbulkan taktik tersebut pada sidang media di Permatang Pauh pagi semalam.
Senarai tersebut mengandungi wakil ahli politik Pakatan Rakyat dalam agenda mereka ingin membentuk kerajaan menjelang 16 September depan.
Kabinet tersebut yang terdiri daripada 25 orang mempunyai tiga Timbalan Perdana Menteri tanpa memasukkan wakil PAS sebagai orang nombor dua.
Dalam risalah yang diedarkan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Naib Presiden PKR, R.Sivarasah turut diletakkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman dan Undang-undang.
Sementara Presiden Persatuan Sabah Maju, Datuk Yong Teck Lee turut dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Bandar.
Selain itu, jawatan menteri kanan Kabinet pula adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Ehwal Agama, Presiden DAP, Karpal Singh menjadi Menteri Hal Ehwal Integriti dan Hubungan Persekutuan.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula dinamakan sebagai Menteri Kewangan II dan anak kepada Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Dalam pada itu, Kit Siang yang ditemui berkata, beliau belum berpeluang melihat risalah tersebut dan tidak tahu mengenainya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui berkata, penyebaran senarai nama ahli Kabinet tersebut merupakan satu niat jahat terhadap Anwar.
"Kami sangat kesal dengan tindakan murahan ini. Ini merupakan satu propaganda di saat kita sedang mengharungi pertarungan politik.
Beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Tegasnya, terdapat banyak cara lain yang boleh digunakan untuk memperoleh sokongan daripada rakyat.
"Rakyat tidak akan tertipu dengan dakyah sedemikian, rakyat peka dengan apa yang berlaku," katanya.
Tambah beliau, pembangkang tahu siapa dalang di sebalik penyebaran risalah itu namun beliau enggan mendedahkannya.
"Kami tahu siapa dalang di sebalik penyebaran risalah ini.Saya tidak perlu menamakan mereka," katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, penyebaran risalah itu didalangi oleh pihak yang takut mereka akan tewas dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, 26 Ogos ini.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek berkata, perbuatan menyebarkan risalah tersebut bukan dari Umno mahupun BN.
"Saya tidak tahu siapa yang meyebarkannya. Ia bukan dari Umno mahupun BN," katanya di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan