Khamis, 28 Ogos 2008

Talian Tele-Hukum diwujudkan bagi rungkai kemusykilan agama

KANGAR: Jabatan Mufti Negeri Perlis memperkenalkan talian Tele-Hukum bagi menjawab kemusykilan orang ramai mengenai hukum Islam dan isu-isu berkaitan.

Ketua Penolong Mufti Perlis Mohd Yazid Saad berkata talian itu mula beroperasi Julai lepas pada setiap Rabu dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan boleh menghubungi Tele-Hukum yang beroperasi di Jabatan Mufti melalui talian 04-9794429 atau 04-9794431.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata semua kemusykilan itu akan dijawab sendiri sama ada oleh Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis serta mana-mana pegawai berkelayakan di jabatan itu.

Mohd Yazid berkata Tele-Hukum diwujudkan bagi mengelak kekeliruan orang ramai terhadap sesuatu isu yang berkaitan dengan hukum Islam.

Beliau berharap orang ramai dapat memanfaatkan talian itu dengan sebaik-baiknya.
BERNAMA

Tiada ulasan: