Sabtu, 30 Ogos 2008

Bajet 'tawan semula' hati rakyat
malaysiakini


Kerajaan mengambil peluang daripada pembentangan bajet 2009 untuk 'menawan semula' hati rakyat selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, membuat beberapa pengumuman yang dapat menggembira dan melegakan rakyat apabila membentang bajet 2009 jam 4.00 petang semalam .

Tumpuannya bajet kali ini dijangka untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana khususnya, akibat kos sara hidup yang tinggi ekoran kenaikan harga minyak.

BN yang diterajui Umno, kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu, Walaupun kembali berkuasa, BN gagal menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN menang 140 kerusi Parlimen manakala Pakatan menang 82 kerusi. Umno juga tewas 30 kerusi Parlimen. Dalam pilihanraya 2004, Umno menang 109 kerusi Parlimen.

BN turut tumbang di tangan barisan pembangkang - Pakatan Rakyat - di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. PAS pula berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Selain itu, BN dihantui oleh dakwaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sejumlah ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan pada 16 September ini untuk membolehkan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan baru.

Walaupun kepimpinan tinggi BN sering menafikan dakwaan tersebut, tetapi kerisauan mereka berterusan, sehinggakan semua ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak akan menyerahkan surat yang mengandungi tandatangan mereka, sebagai jaminan tidak akan lompat parti.

Laluan sukar untuk BN

Keadaan BN lebih terdesak lagi ekoran gesaan perwakilan Gerakan Perak bulan lalu supaya parti itu meninggalkan BN jika isu perkauman dan agama tidak diselesaikan oleh gabungan tersebut.

BN juga gagal merampas kerusi Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil yang diadakan Selasa lalu.

Dalam pilihanraya kecil itu, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi. Beliau mendapat 31,195 undi, mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi.

Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Wan Azizah pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Semua itu merupakan tempoh yang sukar yang terpaksa diharungi oleh kerajaan sejak pilihanraya umum lepas, dengan kemerosotan pretasi, dan dipantau rapi semua pihak, termasuk ahli ekonomi.

Ekoran itu, banyak pihak yang berpendapat bahawa kerajaan perlu memanfaatkan pembentangan bajet hari ini untuk 'menawan semula' hati rakyat dengan meringan beban kehidupan mereka.

Pendekatan itu juga dijangka bersifat majmuk ekoran keputusan pilihanraya lalu yang menunjukkan sokongan rakyat bukan Melayu terhadap BN turut merosot dan telah memenangkan pembangkang.

Pelaburan langsung asing

Lantaran itu, tidak seperti bajet-bajet sebelumnya, yang memberi tumpuan khusus kepada golongan miskin, bajet hari ini dijangka meluaskan manfaatnya merangkumi golongan berpendapatan sederhana dan yang lain-lain - yang turut mengalih kepada pembangkang - bagi mengurangkan beban kos hidup mereka.

Beberapa kemungkinan tersebut turut disuarakan oleh agensi berita nasional, Bernama, yang meramalkan kerajaan akan memperkukuh dan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang distruktur dengan baik bagi membantu Rakyat mengatasi bebanan akibat kos hidup yang tinggi.

Memandangkan kerajaan sentiasa ikhlas dalam usaha untuk membantu rakyat, ia tidak akan mengabaikan bantuan dan keselamatan kepada mereka yang terdedah kepada kesan ekonomi iaitu mereka yang memerlukan sokongan jaringan keselamatan sosial, lapor Bernama.

Menurutnya, objektif kerajaan ialah sentiasa memantau perkembangan dan meningkatkan kerangka kerja pengawal aturan bagi memastikan manfaat sosial yang diperlukan dan tidak mengehadkan bantuan kewangan langsung kepada mereka yang miskin.

"Kumpulan berpendapatan sederhana juga dijangka menerima lebih banyak bantuan daripada kerajaan yang akan memperkenalkan mekanisme yang akan memanfaatkan mereka dalam menghadapi senario ekonomi semasa.

Menurut Bernama, antara usaha lain yang dijangka diperkenalkan termasuk peningkatan sistem pengangkutan awam yang meliputi perkhidmatan rel dan bas kerana ia akan mengurangkan beban golongan pekerja berikutan harga petrol yang tinggi.

Dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini, agensi berita nasional itu menjangka kerajaan akan meneruskan dasar mesra perniagaan.

"Berbanding negara lain di rantau ini, Malaysia dianggap destinasi FDI di rantau ini dan dalam bajet kali ini, diharapkan kerajaan akan menyediakan lebih banyak insentif bagi mengekalkan saingan," lapor Bernama.

Tiada ulasan: