Ahad, 31 Ogos 2008

Selangor larang ketua kampung pegang jawatan parti
BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini menetapkan semua ketua kampung tidak memegang sebarang jawatan dalam parti politik bagi memastikan perkhidmatan mereka tiada unsur pilih kasih atau mementingkan kelompok tertentu yang berkepentingan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan demikian ketika menyampaikan surat pelantikan 366 ketua kampung yang baru pada satu majlis di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat ketua kampung yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dikekalkan dalam senarai baru ketua kampung itu,

Abdul Khalid menjawab: "Kami ada memanggil ketua kampung yang dipilih oleh kerajaan negeri sebelum ini, tetapi kita mahu mereka tandatangani perjanjian untuk menentukan mereka tidak memberi perkhidmatan hanya kepada parti tertentu tetapi kepada semua orang.

"Mereka juga mesti memberi keutamaan kepada semua orang dalam masyarakat tetapi mereka enggan dan mereka tidak tandatangani perjanjian. Bila mereka tidak tandatangani, kami tidak pertimbangkan. Kesemua 368 mereka enggan tandatangan".

Dengan pelantikan hari ini, isu pelantikan ketua kampung di Selangor yang sebelum ini kerajaan Pakatan Rakyat dakwa mendapat campur tangan kerajaan persekutuan, akhirnya selesai berikutan seramai 366 ketua kampung daripada 368 kampung di negeri itu dilantik secara rasmi mengikut daerah.

Bagi daerah Sabak Bernam seramai 79 ketua kampung dilantik diikuti Kuala Selangor (55), Gombak (35), Kuala Langat (34), Klang (33), Hulu Selangor (33), Petaling (19) dan Sepang (19).

Bagaimanapun, dua kampung di Hulu Langat iaitu Kampung Seri Jambu dan Kampung Sungai Batu masih tidak mempunyai ketua kampung kerana pencalonan masih belum diberikan kepada kerajaan negeri untuk proses temuduga.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Khalid berkata, semua ketua kampung yang dilantik akan melalui tempoh percubaan selama enam bulan untuk disemak dan dinilai oleh pejabat daerah sebelum dihantar untuk tapisan keselamatan kepada pihak polis.

Kerajaan negeri akan membayar elaun sebanyak RM450 sebulan kepada semua ketua kampung berkenaan.

Mengenai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, Abdul Khalid sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mengiktiraf kewujudan JKKKP itu.

Tiada ulasan: