Sabtu, 23 Ogos 2008

(Dikemas kini)

Arif nafi, PKR mahu SPR batal kelayakan calon BN tanding
Oleh G. MANIMARAN


PERMATANG PAUH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah telah membayar duit kepada bukan pekerja jentera pilihan raya, yang menurut parti itu satu bentuk rasuah, dan mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan kelayakannya bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Berdasarkan laporan media hari ini (akhbar bahasa Cina), Arif Shah mengaku membayar duit kepada mereka yang bukan merupakan pekerja jentera pilihan raya.

"Membayar duit kepada mereka yang bukan pekerja adalah satu bentuk rasuah walaupun Arif Shah mengatakan ia bertujuan mendapatkan maklumat.

"Justeru, kami mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) siasat perkara ini dan membatalkan kelayakan beliau bertanding," kata Ketua Penerangan PKR, Tian Chua beliau pada sidang media harian di sini pagi ini.

Kempen pilihan raya kecil masuk hari ketujuh hari ini.

Tian Chua berkata, pengakuan Arif Shah dalam akhbar sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.

Bagaimanapun Arif Shah yang ditemui mStar Online selepas sidang media itu memberitahu, beliau tidak pernah berbuat demikian.

"Saya tidak bayar sesiapa. Saya sendiri pun tiada pekerja jentera. Jentera pilihan raya pula diuruskan oleh Umno Bahagian (Permatang Pauh).

"Dana saya terhad, macam mana saya hendak bayar jika saya tiada pekerja jentera," kata beliau.

Arif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata, beliau ada berhubung dengan jentera pilihan raya Bahagian Permatang Pauh yang mengumpulkan maklumat daripada mereka yang bukan merupakan jentera pilihan raya.

"Mungkin mereka bayar, saya tidak tahu. Tapi bukan saya yang bayar," katanya.

Antara maklumat yang diperoleh ialah sentimen pengundi dan masalah yang mereka hadapi ketika tempoh berkempen, untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Maklumat seumpama itu dikumpulkan oleh jentera pilihan raya Permatang Pauh dan disalurkan kepada beliau setiap hari untuk tindakan susulan.

Jelas Tian Chua, maklumat yang diperoleh menunjukkan Arif Shah membayar antara RM100 dan RM500 setiap pekerja.

Beliau tidak pasti berapa pengundi yang telah dibayar setakat ini.

Jika ditanya sama ada SPR boleh membatalkan kelayakan serta-merta sebelum 26 Ogos, beliau berkata, peruntukan undang-undang adalah jelas dan sepatutnya SPR berbuat demikian.

"Melainkan Arif Shah menafikan laporan akhbar. SPR perlu menyiasat perkara ini dan batalkan status calon Arif Shah," katanya lagi.

Kata Tian Chua pihaknya telah memaklumkan kepada badan pemantau pilihan raya, Mafrel dan aduan rasmi akan dikemukakan kepada SPR esok

Tiada ulasan: