Ahad, 24 Ogos 2008

DAP mahu tawan PWTC - Karpal
Utusan Online

KUALA LUMPUR — DAP berikrar untuk maju selangkah lagi dengan objektif mengadakan mesyuarat tahunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Objektif utama kami ialah untuk menawan dan mengadakan kongres kami di PWTC,” kata Pengerusi DAP Karpal Singh ketika berucap merasmikan Kongres Kebangsaan DAP ke-15 di sini hari ini.

Bernama melaporkan, kongres itu yang bertema Cekap, Bertanggungjawab dan Telus dihadiri kira-kira 720 perwakilan dan 330 pemerhati.

Ia juga menyaksikan pemilihan bagi 20 jawatan jawatankuasa kerja pusat daripada 58 pencalonan.

Dalam pilihan raya umum Mac lepas, DAP memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor menegaskan Malaysia ialah sebuah negara sekular.

Beliau percaya hanya seorang yang dapat merapatkan jurang antara DAP dan Pas berhubung isu itu dan “orang” itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya percaya hanya Anwar boleh menjadi orang tengah antara Pas dan DAP.

“Beliau bukan lagi Anwar yang kita pernah kritik sebelum ini. Beliau kini Anwar yang sudah berubah dan saya percaya kepadanya,” kata pemimpin pembangkang yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Memang diketahui umum, Pas sering menyuarakan hasrat parti itu untuk mewujudkan sebuah negara Islam manakala DAP yang mahukan sebuah negara sekular bagi semua rakyat Malaysia, menentang hasrat Pas itu.

Karpal yakin pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini, akan menjadi titik permulaan bagi Anwar dalam usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan Persekutuan akan datang.

Beliau juga menegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan prinsip asasnya dan menyatakan “perubahan yang dilakukan perlu berteraskan prinsip ini”.

“Sudah jelas bahawa rakyat mahukan perubahan pada pilihan raya umum lepas dan DAP menegaskan perubahan yang dilakukan perlu berteraskan prinsip ini,” katanya.

Gagasan untuk membentuk kerajaan dan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri itu bagaimanapun bertentangan dengan kehendak beberapa pemimpin Pas yang menyifatkan pakatan pembangkang sebagai “perkahwinan yang tidak bahagia”.

Malah para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-54 baru-baru ini secara terbuka mempertikai hasrat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, mereka menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

Abdul Hadi pula berkata, beliau tidak berangan menjadi Perdana Menteri kerana tidak mahu menjadi ahli politik ‘Mat Jenin’.

Tiada ulasan: